
MELAKA, 24 Oktober – Lebih 35,000 nelayan di seluruh negara telah didaftarkan dalam sistem Pangkalan Data Nelayan (PADAN) bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan dan insentif kerajaan kepada golongan berkenaan.
- LKIM sedang mengesan nelayan belum berdaftar untuk memastikan semua direkodkan dalam PADAN.
- PADAN merangkumi penerima pelbagai insentif kerajaan, termasuk bantuan minyak dan elaun sara hidup.
- Sistem PADAN dilancarkan semasa MAHA, memudahkan penyaluran bantuan dan akses kepada penerima.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil, berkata pihaknya masih menjalankan usaha mengesan nelayan yang belum berdaftar bagi memastikan semua nelayan di negara ini direkodkan dalam sistem berkenaan.
Menurutnya, pangkalan data itu merangkumi nelayan yang menerima pelbagai insentif kerajaan, termasuk bantuan minyak dan elaun sara hidup.
“Seramai 35,000 nelayan yang menerima insentif kerajaan, termasuk bantuan minyak dan elaun sara hidup, telah kita kumpulkan dalam pangkalan data ini.
“Kita akan terus mendaftarkan penerima bantuan baharu. Perkara paling penting ialah kita mempunyai satu pangkalan data bagi memudahkan akses kepada penerima bantuan,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang LKIM 2026 di Bandaraya Melaka.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sistem PADAN dilancarkan semasa program Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada awal September lalu.