Penyelarasan NGO, agensi kerajaan penting tangani isu sosial bandar

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Kerjasama strategik antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta perlu diperkukuh bagi memastikan usaha menangani isu sosial bandar dilaksanakan secara lebih bersepadu, berkesan dan bersasar.

RINGKASAN BERITA AI
  • DBKL mesti mendapatkan pandangan NGO dan menyelaraskan pembahagian tugas untuk elak pertindihan dan pembaziran sumber.
  • Pengiktirafan diberikan kepada NGO atas sumbangan dalam makanan, pakaian, perkhidmatan kesihatan, sokongan mental dan pendidikan percuma.
  • Kerajaan perlu melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara konsisten walaupun tindakan itu dilihat tegas oleh sesetengah pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata menangani isu sosial di bandar besar bukan sekadar menyediakan bantuan, sebaliknya memerlukan komitmen bersama bagi memastikan golongan rentan mendapat perlindungan dan sokongan sewajarnya.

“Saya percaya setiap NGO yang dipilih malam ini merupakan rakan strategik yang benar-benar turun padang dan melaksanakan kerja berdasarkan objektif penubuhan masing-masing.

“Hari ini, kita mahu memberikan pengiktirafan kepada anda semua,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Komuniti Kuala Lumpur di ibu negara.

Beliau berkata majlis berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan NGO, agensi kerajaan dan sektor swasta dalam memperkukuh kesejahteraan sosial warga kota.

Pada majlis itu, sebanyak 33 NGO diraikan atas sumbangan mereka dalam membantu pengurusan dan kebajikan golongan gelandangan serta komuniti yang memerlukan, termasuk menerusi penyediaan makanan, pakaian, barangan keperluan asas, perkhidmatan kesihatan, sokongan mental, bimbingan dan pendidikan percuma.

Sumbangan itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pusat di bawah pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), termasuk Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Pusat Transit Gelandangan Anjung Kembara dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.

Hannah berkata DBKL perlu terus mendapatkan pandangan NGO serta menyelaraskan pembahagian tugas bagi mengelakkan pertindihan usaha dan pembaziran sumber, sekali gus memastikan bantuan disampaikan dengan lebih berkesan.

“Menjalankan pengurusan sebuah bandar memerlukan kerjasama semua pihak. Namun, jika terlalu banyak NGO menjalankan tugas yang sama tanpa penyelarasan, ia juga boleh menimbulkan masalah kepada kerajaan. Kita perlu mengagihkan tugasan dan mengelakkan pembaziran,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan perlu melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang secara konsisten meskipun tindakan itu mungkin dilihat tegas oleh sesetengah pihak, termasuk dalam tindakan menyita barangan pihak yang tidak mempunyai lesen.

“Jika penguatkuasaan tidak dilaksanakan, kerajaan juga boleh dituduh melakukan rasuah, menutup mata atau gagal menguatkuasakan undang-undang yang ditetapkan sendiri,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.