
KUALA LUMPUR, 19 November – Kerajaan sedia membantu menangani cabaran dihadapi pemain industri termasuk aspek logistik, tenaga kerja dan percukaian bagi memastikan kelangsungan perniagaan.
- Perdana Menteri arah isu sektor perniagaan diberi perhatian dan ditangani segera.
- Fahmi mengalu-alukan maklum balas pemain industri serta menjemput mereka menghubungi beliau.
- Beliau nyatakan peranan sebagai jurudengar kerajaan, bukan sekadar jurucakap.
- Kerajaan tingkatkan had ambang pelaksanaan e-Invois melalui belanjawan dan terus memudahcara urusan pemain industri.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya isu dihadapi sektor perniagaan diberi perhatian dan ditangani dengan segera.
Menurutnya, beliau turut mengalu-alukan maklum balas serta keperluan pemain industri untuk disampaikan kepada kerajaan bagi memudahkan tindakan dan penyelesaian.
“Sebagai anggota pentadbiran, saya bukan hanya jurucakap kerajaan, tetapi juga jurudengar kerajaan. Jadi, gunakanlah peluang yang ada.
“Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan mempunyai sebarang keperluan atau perkara yang ingin disampaikan kepada kerajaan, boleh hubungi saya, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Penghargaan Vendor Foodpanda Malaysia 2026 di sini, malam ini.
Dalam pada itu, beliau menyambut baik inisiatif Foodpanda memperkenalkan kemudahan akaun PandaPro kepada penjawat awam bagi membantu mereka menikmati penjimatan ketika membuat pesanan makanan.
Beliau turut memaklumkan kerajaan telah meningkatkan had ambang pelaksanaan e-Invois menerusi belanjawan, selain menegaskan kesediaannya untuk terus membantu memudah cara urusan pemain industri.