
IPOH, 19 November – Kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga yang ditemukan tidak bernyawa di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar semalam disahkan berpunca daripada jerutan pada leher.
- Bedah siasat selesai dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping.
- Siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah atau kejadian buli; kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
- Pihak polis merakam keterangan 13 individu termasuk ibu bapa, guru dan rakan; proses keterangan akan diteruskan.
- Perdana Menteri mengarahkan siasatan menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata punca kematian itu dikenal pasti menerusi hasil bedah siasat yang selesai dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Taiping, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah atau kejadian buli yang dikaitkan dengan kematian pelajar berkenaan.
“Kes kematian pelajar itu diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini.
Mohd Alwi berkata pihaknya telah merakam keterangan 13 individu termasuk ibu bapa, guru dan rakan sekolah mangsa serta akan meneruskan proses keterangan daripada mana-mana pihak yang difikirkan perlu bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa berada di bilik sakit sekolah berkenaan selama tiga hari sejak Isnin lalu selepas dilaporkan kurang sihat.
Mohd Alwi berkata mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira 10.35 pagi semalam, namun kematiannya hanya disedari pada 2.45 petang hari sama oleh seorang pelajar yang secara kebetulan memasuki bilik sakit berkenaan untuk menggunakan tandas,” katanya.
Semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak mengesahkan seorang murid Tingkatan Tiga ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di negeri itu.
Susulan kejadian berkenaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan siasatan menyeluruh dan telus dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian pelajar terbabit. -BERNAMA