Polis buru rakan jenayah suspek samun guna teksi, dipercayai aktif sejak Mei

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus (tengah) menunjukkan barang kes berkaitan Bitcoin yang dilupuskan pada Majlis Pelupusan Barang Kes Siri 1 Tahun 2026 di Balai Polis Alam Damai hari ini./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 November – Polis giat mengesan rakan kepada suspek yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Chow Kit semalam, yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan samun menggunakan teksi sejak Mei lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sembilan kes samun dikenal pasti melalui pengecaman mangsa.
  • Suspek mempunyai beberapa kes berstatus dikehendaki polis.
  • Modus operandi: ambil penumpang kemudian melakukan samun apabila ada peluang.
  • Dalam kejadian 18 November, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis; anggota membalas untuk mempertahankan diri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan mengenal pasti sembilan kes samun yang mempunyai kaitan dengan suspek selepas mangsa terlibat mengecamnya.

Menurutnya, suspek dipercayai aktif melakukan jenayah berkenaan secara berulang kali sejak awal Mei tahun ini, selain mempunyai beberapa kes berstatus dikehendaki polis.

“Suspek aktif sejak Mei tahun ini dan dipercayai telah melakukan kegiatan tersebut berulang kali. Kita juga mempunyai banyak kes berstatus wanted. Terdapat sembilan kes yang mengesahkan bahawa mangsa telah mengecam suspek berkenaan,” katanya pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur bagi tahun 2026, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata polis turut berusaha mengesan rakan suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah itu.

Teksi yang digunakan dalam kegiatan samun berkenaan juga dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes jenayah dan kini menjadi sebahagian daripada barang kes siasatan.

“Susulan daripada itu, siasatan masih diteruskan. Kita percaya dalam masa terdekat ini, insya-Allah, akan ada perkembangan positif. Kita juga sedang berusaha untuk mengesan dan mendapatkan rakan-rakan suspek lain yang dipercayai turut terlibat dalam kes ini,” jelasnya.

Mengulas modus operandi, beliau berkata suspek dipercayai mengambil penumpang sebelum melakukan samun apabila mempunyai peluang sesuai.

“Antara sasaran dipercayai termasuk wanita, warga emas dan lelaki berusia yang dianggap lebih mudah dikuasai,” katanya.

Dalam kejadian 18 November lalu, seorang lelaki maut selepas berbalas tembakan dengan polis di Chow Kit, selepas disyaki terbabit dalam kegiatan samun menggunakan teksi.

Suspek, lelaki tempatan, dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis sebelum anggota terlibat membalas tembakan bagi mempertahankan diri dan menghentikan ancaman keselamatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.