Isu warga asing: Operasi bersepadu lebih agresif dilakukan polis KL

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 November – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempergiat operasi bersepadu bersama pelbagai agensi penguat kuasa bagi menangani isu sosial dan jenayah membabitkan warga asing di ibu negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi memberi tumpuan kepada pelbagai kesalahan termasuk kesalahan imigresen dan jenayah yang mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.
  • Polis Kuala Lumpur akan meneruskan operasi agresif bersepadu melibatkan agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan.
  • Kesalahan jenayah kekal menjadi keutamaan dan fokus utama polis dalam pelaksanaan operasi.
  • 34,451 unit barang kes dilupuskan (2010–2026) bernilai anggaran RM2.34 juta; proses pelupusan memerlukan kerjasama mahkamah dan pihak pendakwaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata operasi berkenaan akan memberi tumpuan kepada pelbagai kesalahan termasuk kesalahan imigresen dan jenayah, khususnya yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.

“Polis Kuala Lumpur akan meneruskan beberapa lagi operasi secara agresif selepas ini dengan melibatkan pelbagai agensi menerusi Operasi Bersepadu termasuk membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguat kuasa berkaitan bagi memastikan sebarang pelanggaran undang-undang dapat ditangani secara menyeluruh.

“Bagaimanapun, kesalahan jenayah kekal menjadi keutamaan dan fokus utama kami,” katanya pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur bagi tahun 2026 di sini.

Sebanyak 34,451 unit barang kes membabitkan 751 kertas siasatan bagi tempoh 2010 hingga 2026 dilupuskan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.34 juta.

“270 daripadanya melibatkan kes perjudian, 244 kes barang am, 170 kes noda atau hiburan, 61 kes kontraban dan enam kes bitcoin.

“Proses pelupusan bukan sekadar tindakan menghapuskan barang kes, sebaliknya satu prosedur yang kompleks dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk mahkamah serta pihak pendakwaan,” jelas beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.