Larian Obor AUGKL 2026 singgah di UKM, suntik semangat kontinjen negara

Kontinjen UKM bagi Larian Obor AUGKL 2026

BANGI, 19 November – Bahang menjelang ASEAN University Games (AUG) 2026 semakin terasa apabila Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi antara persinggahan siri Larian Obor AUG Kuala Lumpur 2026 (AUGKL 2026) yang berlangsung meriah dengan penyertaan 60 atlet di sekitar kampus universiti itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Larian obor menguatkan semangat juang atlet dan menjadi platform promosi serta menyuntik sokongan warga kampus.
  • UKM diberi mandat sebagai salah satu venue rasmi, memastikan kemudahan sukan memenuhi spesifikasi bertaraf antarabangsa.
  • AUGKL 2026 akan berlangsung di Kuala Lumpur, menghimpunkan kira-kira 3,000 atlet dengan lima universiti tuan rumah bersama.

Larian simbolik berkenaan bertujuan menyemarakkan semangat juang dalam kalangan atlet kontinjen negara, sekali gus menjadi platform promosi dan menyuntik sokongan warga kampus menjelang temasya sukan universiti terbesar Asia Tenggara itu.

Obor dibawa secara bergilir-gilir merentasi enam checkpoint sejauh kira-kira satu kilometer, bermula dari perkarangan Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) sebelum berakhir di Stadium UKM.

Pengarah Pusat Sukan, Dr. Nur Shakila Mazalan berkata UKM diberi mandat sebagai sebahagian daripada venue kejohanan AUG KL 2026.

“UKM melalui Pusat Sukan Universiti akan memastikan kemudahan sukan yang terlibat seperti Dewan Gemilang (bola tampar), DECTAR (taekwando) dan Stadium (memanah) bersedia untuk digunakan dan menepati spesifikasi yang setaraf dengan kejohanan peringkat antarabangsa, sekali gus membawa imej baik Malaysia sebagai tuan rumah AUG 2026,” katanya.

Beliau berkata UKM yang dipilih bagi pelaksanaan tiga acara sukan itu adalah satu penghormatan dan amanah untuk menyerlahkan keupayaan, kewibawaan dan kecemerlangan universiti.

“Kita mendoakan agar semua acara sukan yang berlangsung, khasnya di UKM, akan berjalan dengan lancar serta menjadi penanda aras baharu dalam penganjuran sukan universiti serantau dan mengharumkan nama baik universiti serta negara,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Nurinsan Kamil Othman (kiri) dan Pengarah Pusat Sukan, Dr. Nur Shakila Mazalan (kanan) memegang obor AUGKL 2026 semasa siri Larian Obor AUG Kuala Lumpur 2026 (AUGKL 2026), di Stadium UKM

Larian Obor AUGKL 2026 disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Hanafiah Ayub.

Malaysia dijadualkan menjadi tuan rumah AUG 2026 di Kuala Lumpur dari 10 hingga 19 Disember depan, sekali gus menamatkan penantian selama 18 tahun selepas kali terakhir menganjurkan temasya dwitahunan itu pada 2008.

Kejohanan ini bakal menghimpunkan kira-kira 3,000 atlet dan petugas, dengan lima universiti awam bertindak sebagai tuan rumah bersama, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), UKM, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sebagai tuan rumah bersama, UKM dipilih menjadi salah satu venue rasmi pertandingan bagi tiga acara utama, iaitu bola tampar, taekwondo dan memanah.

Selepas UKM, siri Larian Obor AUG 2026 akan diteruskan ke UPNM pada 24 November, sebelum berakhir di UiTM semasa majlis perasmian pembukaan ASEAN University Games 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.