
SHENZHEN, 19 November – Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di sini mengukuhkan lagi prinsip pemusatan serta dasar luar dan ekonomi negara yang bebas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Malaysia mengekalkan pendirian berkecuali ketika perpecahan kuasa dunia melalui pertemuan dengan pemimpin utama.
- Perbincangan bersama Presiden Putin menumpukan perjanjian awal berkaitan perdagangan, keselamatan tenaga serta eksport diesel, minyak dan gas.
- Malaysia berjaya menarik potensi pelaburan RM9.2 bilion daripada firma teknologi dan pembuatan untuk membangunkan operasi domestik.
- Pelaburan menyokong KDNK 5.5% suku ketiga 2026; kerajaan percepat pelaburan, kurangkan birokrasi dan lindungi PKS.
Datuk Seri Anwar berkata, lawatan kerja keenamnya ke China itu turut menegaskan pendirian berkecuali Malaysia dalam menghadapi perpecahan kuasa dunia melalui pertemuan dengan beberapa pemimpin utama.
Antaranya ialah Presiden China, Xi Jinping; Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; serta Presiden Rusia, Vladimir Putin.
“Itu semua banyak menekankan tentang keperluan menjaga hubungan supaya tidak terjejas perdagangan dan pelaburan AS ke Malaysia dan juga hubungan dagang dengan AS, tetapi juga jaminan, kita bahawa hubungan baik dengan China itu tidak menjejaskan kepentingan Malaysia sebagai negara yang bebas,” katanya dalam sidang media di sini.
Dalam pertemuan ringkas bersama Presiden Putin pula jelasnya, perbincangan tertumpu kepada perjanjian awal membabitkan perdagangan, keselamatan tenaga serta eksport diesel, minyak dan gas.
Daripada sudut ekonomi, Datuk Seri Anwar memaklumkan Malaysia berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM9.2 bilion daripada syarikat teknologi dan pembuatan serantau, termasuk Fastprint Circuit Tech dan Mindray Biomedical.
Pelaburan itu akan membangunkan operasi di Kulim Hi-Tech, Pulau Pinang, Selangor dan Pahang, sekali gus meneruskan momentum dagangan Malaysia-China yang mencecah RM541.15 bilion pada tahun 2025.
Beliau berkata, pencapaian itu turut menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 yang melebihi unjuran asal.
“Kerajaan komited mempercepatkan urusan pelaburan ini dengan mengurangkan kerenah birokrasi, di samping melindungi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan daripada diambil alih secara paksa oleh syarikat asing,” tegasnya.