
TURKIYE, 19 November -Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutupan Pavilion Malaysia sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Turkiye, hari ini.
- Seri Paduka Baginda diiringi Yang Amat Mulia Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj.
- Ketibaan Seri Paduka Baginda disambut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, serta Pengerusi JSC.
- Seri Paduka Baginda menitahkan jaringan kerjasama strategik diteruskan pasca COP31 untuk manfaat ekonomi dan kelestarian alam sekitar; menyaksikan pemeteraian MoU.
Berangkat sama mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Yang Amat Mulia Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke majlis itu telah disambut oleh Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, bersama Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad, Pengerusi Johor Sustainability Centre (JSC).
Dalam titah penutupannya, Raja Permaisuri Agong menzahirkan harapan agar jaringan kerjasama strategik antara kerajaan, sektor perniagaan, penyelidik dan masyarakat sivil yang terjalin di Pavilion Malaysia akan diteruskan pasca-COP31 demi manfaat ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“Saya berharap keterhubungan yang terjalin di sini akan berterusan selepas COP31, membawa aspirasi bersama ke dalam penyelesaian praktikal bagi memanfaatkan masyarakat, ekonomi dan alam sekitar kita,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Johor Sustainability Centre (JSC) dan beberapa agensi dari Turkiye.