
PUTRAJAYA, 19 November 2026 –Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menamatkan tugasnya hari ini setelah 31 tahun mengetuai agensi itu.
- Melaksanakan legasi pembaharuan JPA termasuk pengenalan SSPA dan penyelesaian Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867).
- Menghargai pasukan JPA dan sokongan Perdana Menteri, menegaskan kepentingan kerjasama dalam menangani kehendak setiap skim perkhidmatan awam.
- Menyeru pemerkasaan perkhidmatan awam supaya setanding negara maju dan memastikan dasar direka memenuhi aspirasi rakyat.
Beliau yang juga merupakan KPPA ke-27 telah melaksanakan pelbagai legasi pembaharuan dalam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) termasuk pelaksanaan SSPA yang dianggap satu pencapaian yang membanggakan.
“Saya bersyukur kerana di setiap penempatan saya, saya memiliki pasukan yang sangat hebat sama ada di Istana Negara, Kementerian Dalam Negeri, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan JPA.”
“Yang paling mengesankan saya ialah kejayaan saya dan pasukan JPA menyelesaikan sistem saraan baharu iaitu SSPA. Kepuasan bagi saya adalah apabila kita berjaya mengadakan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta 867),” katanya dalam sidang media Majlis Lambaian Bakti di sini.
Pada sesi itu, beliau turut merakamkan penghargaan buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan menerajui perkhidmatan awam yang mempunyai hampir1.5 juta ahli.
“Bukan sesuatu yang mudah untuk kita menyantuni kehendak-kehendak setiap skim yang ada dalam perkhidmatan awam.
“Dengan adanya pasukan yang hebat di JPA, perkara itu dapat kita tangani dengan sebaik mungkin. Jadi terima kasih kepada semua,” katanya.
Beliau turut menyeru agar perkhidmatan awam negara terus diperkukuh setanding negara maju sekaligus memastikan setiap dasar yang digubal mampu memenuhi aspirasi rakyat.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim serta barisan pengurusan tertinggi dan warga JPA.
Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan mula menyertai perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan pada 25 Januari 1995 dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara serta di JPA.
Beliau juga pernah menyandang jawatan Ketua Pengarah ICU di Jabatan Perdana Menteri dan kemudian dilantik sebagai KPPA berkuat kuasa 9 Januari 2024.