
KUALA LUMPUR, 19 November – Pemain boling kebangsaan, Shaqeem Izwan Teh bertekad menamatkan penampilan terakhirnya pada Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Stars dengan merangkul gelaran sulung kategori Boys Open pada edisi ke-26 di Sunway Mega Lanes, bulan depan.
- Shaqeem belum pernah memenangi gelaran utama Boys Open sejak mula menyertai pada usia tujuh tahun.
- Tahun lalu Shaqeem mara ke final tetapi tewas kepada pemain Korea Selatan Kim Soo Han, jadi naib juara.
- Kejohanan 1 hingga 13 Disember bakal menghimpunkan lebih 900 peserta dari 16 negara, Singapura menghantar 280 peserta.
Pemain berusia 22 tahun itu masih belum pernah memenangi gelaran utama berkenaan sepanjang penyertaannya sejak berusia tujuh tahun, meskipun pernah muncul juara kategori bawah 12 tahun.
Peluang terbaiknya hadir pada edisi tahun lalu apabila mara ke final, namun terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas tewas kepada pemain Korea Selatan, Kim Soo Han.
Shaqeem kini mahu menebus kekecewaan itu sekali gus merealisasikan impian menjulang gelaran Boys Open yang menjadi sasarannya sejak berusia 16 tahun.
“Sudah tentu saya berasa sedikit tertekan kerana ini tahun terakhir saya dan masih belum pernah memenangi gelaran dalam terbuka lelaki. Saya berharap dapat meraih gelaran itu pada tahun ini.
“Saya sudah menyasarkan kejuaraan ini sejak berusia 16 tahun. Tahun lalu saya hampir berjaya, jadi saya berharap dapat mencapainya pada penampilan terakhir kali ini,” katanya.
Pemain wanita kebangsaan, Adania Mohd Redzwan pula menyasarkan kedudukan tiga terbaik selepas pernah muncul naib juara kategori terbuka perempuan pada edisi 2024 apabila tewas kepada wakil Singapura, Hazel Tan.
Pemain berusia 21 tahun itu kembali menyertai kejohanan berkenaan selepas terlepas edisi tahun lalu kerana komitmen bersama skuad negara pada Sukan SEA.
“Saya tidak dapat beraksi tahun lalu kerana menyertai Sukan SEA. Jadi, sasaran saya kali ini adalah untuk berada dalam kelompok tiga terbaik.
“Setiap kejohanan mempunyai cabaran berbeza walaupun kami berlatih di sini setiap hari. Ia biasanya bergantung kepada keadaan cuaca dan juga pemain yang menjadi lawan kami. Persaingan pasti sukar, namun saya akan cuba menyesuaikan diri,” katanya.
Saingan terbuka wanita turut menampilkan juara bertahan, Lavinia Kho serta bekas juara termasuk Adelia Nur Irwan Syazalee dan Hazel Tan.
Kim Soo Han pula kembali untuk mempertahankan gelaran Boys Open yang dimenanginya tahun lalu.
Kejohanan yang dijadual berlangsung dari 1 hingga 13 Disember itu bakal menghimpunkan lebih 900 peserta dari 16 negara, dengan Singapura mencatat penyertaan antarabangsa terbesar membabitkan 280 peserta.
Antara nama yang dijangka mencuri tumpuan ialah Jovi Ma dari Hong Kong, yang pernah muncul juara Piala Dunia.