
KUALA LUMPUR, 19 November – Penyusunan semula kategori berat badan beberapa atlet muay thai negara dirancang Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) sebagai strategi memburu sekurang-kurangnya tiga pingat emas pada Sukan SEA 2027 di Kuching, Sarawak.
- Penilaian prestasi antarabangsa menunjukkan beberapa atlet sesuai bertanding dalam kategori berlainan.
- Perubahan kategori dicadangkan supaya atlet muda yang masih membesar dapat mencapai KPI MSN.
- 21 atlet dikenal pasti untuk program latihan berfasa; pengumpulan di ISN Januari untuk menyelaraskan persiapan.
Presiden PMM, Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan penilaian prestasi atlet dalam beberapa kejohanan antarabangsa, termasuk Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Greece bulan ini dan Kejohanan Muay Thai Dunia di Kosovo pada September lalu.
Hasil penilaian itu menunjukkan beberapa atlet berpotensi menyumbang pingat dalam kategori berbeza, justeru PMM berharap Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2027 (MASOC 2027) dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan sebelum buku panduan teknikal dikeluarkan.
“Sebagai contoh, kita meraih pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand menerusi Mikey atau Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar. Namun, agak sukar untuk beliau mengekalkan berat badan dalam kategori sama kerana atlet berusia 16 hingga 17 tahun masih membesar.
“Jadi, kita perlu membuat pertukaran kategori sebagai strategi mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan MSN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini.
Mengulas persiapan skuad negara, beliau berkata, seramai 21 atlet dikenal pasti untuk mengikuti program latihan secara berfasa menjelang temasya dwitahunan itu.
Mereka kini menjalani latihan di gimnasium masing-masing menerusi program podium sebelum dijadual berkumpul di Institut Sukan Negara (ISN) pada Januari depan.
“Kita akan mengumpulkan mereka di ISN pada Januari depan kerana institut itu akan menyediakan sokongan yang diperlukan untuk memulakan program tahun hadapan.
“Walaupun atlet menjalani latihan di tempat masing-masing, beberapa aspek perlu diselaraskan supaya mereka bersedia apabila Sukan SEA berlangsung,” katanya.
Dalam perkembangan lain, atlet muay thai negara bakal menerima semula elaun khas daripada MSN berdasarkan pencapaian masing-masing selepas beberapa tahun tidak menikmati kemudahan berkenaan.
Pada Sukan SEA 2025 di Thailand, skuad negara meraih tiga pingat emas menerusi Angie Yan Jia Chi dalam acara Wai Kru wanita, Wassof Rujiman bagi kategori 54 kilogram lelaki dan Muhammad Mikail bagi kategori 57 kilogram lelaki, selain tiga perak serta empat gangsa.