
KUALA PILAH, 20 November – Jenazah pelajar Tingkatan Tiga yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar pada Rabu selamat dikebumikan di sini pada 10.20 malam tadi.
- Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Juasseh.
- Suasana pilu dengan kehadiran keluarga, saudara, rakan dan penduduk memberi penghormatan terakhir.
- Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek turut hadir.
- Ibu meminta siasatan terperinci; 13 keterangan dirakam dan kes diklasifikasi sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Jenazah dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Kampung Kuala Juasseh.
Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan itu yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan penduduk setempat hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.
Turut hadir Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek.
Ibu Allahyarham, Siti Zammira Zolkopli,45, berkata, berita pemergian anak ketiganya itu sangat mengejutkan termasuk buat ahli keluarga lain.
Beliau menyifatkan Allahyarham merupakan seorang anak yang sangat baik dan disenangi ramai.
“Saya berharap perkara ini disiasat dengan teliti kerana kita sendiri tidak tahu sama ada perkara itu dilakukan dengan niat sedemikian atau sebaliknya.
“Saya hanya mampu berdoa dan menyerahkan kepada Allah untuk membuka kebenaran sebenar. Kita serahkan kepada pihak polis dan sekolah untuk menjalankan siasatan lain (sewajarnya),” katanya kepada RTM malam tadi.

Allahyarham sempat pulang ke rumah pada cuti Deepavali lepas dan menyatakan hasrat untuk menjadi seorang Doktor Pakar.
Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin memberitahu 13 keterangan individu termasuk ibu bapa, guru dan rakan sekolah mangsa telah dirakam bagi membantu siasatan.
Proses rakaman keterangan juga akan diteruskan daripada mana-mana pihak yang difikirkan perlu bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian itu.
Kes kematian pelajar itu diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).