
IPOH, 19 November – Lelaki yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Ipoh awal pagi tadi merupakan ketua kumpulan samun yang aktif di Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.
- Suspek mempunyai sekurang-kurangnya 17 rekod jenayah; kumpulan dikaitkan dengan 22 kes.
- Kumpulan menyasarkan rumah kediaman berhampiran lebuh raya, melakukan pemeriksaan lokasi dan menutup wajah dengan topeng.
- Sekitar 2.30 pagi suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis; polis membalas dan suspek disahkan meninggal dunia.
- Barang dirampas termasuk pistol, peluru, bahan dipercayai syabu, tiga parang, topeng muka dan peralatan pecah rumah; empat suspek masih diburu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata lelaki berusia 39 tahun itu mempunyai sekurang-kurangnya 17 rekod jenayah lampau, manakala kumpulannya dikaitkan dengan 22 kes.
Kumpulan berkenaan menyasarkan rumah kediaman berhampiran lebuh raya.
“Maksudnya, kumpulan ini akan keluar dari lebuh raya sebelum menyasarkan rumah kediaman. Sebelum melakukan jenayah, suspek terlebih dahulu akan menjalankan pemeriksaan dan tinjauan di lokasi bagi mendapatkan maklumat.
“Ketika melakukan serangan, suspek juga akan memastikan wajah ditutup dengan topeng bagi mengelakkan identiti dikenal pasti”, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis selepas kereta suspek dipintas di Jalan Persiaran Lembah Perpaduan.
Polis membalas tembakan dan suspek disahkan meninggal dunia. Seorang lagi suspek ditahan di Tanjung Malim, manakala empat yang lain masih diburu.
Pemeriksaan menemukan sepucuk pistol, peluru serta bahan dipercayai syabu, manakala tiga bilah parang, topeng muka dan peralatan pecah rumah ditemukan di dalam kereta suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.