
PUTRAJAYA, 20 November – Pemain industri lebuh raya, khususnya syarikat konsesi diseru menjadikan organisasi media tempatan sebagai rakan strategik dalam memperkukuh ekosistem media negara.
- Media memerlukan pandangan, pengetahuan dan kepakaran industri untuk menghasilkan laporan serta penceritaan berita yang lebih baik.
- Sektor lebuh raya mempunyai banyak kisah menarik, melibatkan pembangunan infrastruktur, teknologi dan pengorbanan petugas keselamatan.
- Datuk Ashwad akui media berdepan tempoh mencabar dan menyeru era kerjasama serta kolaborasi walaupun wujud persaingan.
- Kerjasama antara agensi kerajaan, kementerian, swasta dan penyiar penting; penyaluran maklumat trafik pantas mesti diiringi ketepatan dan kesahihan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, sokongan itu penting bagi membantu industri media mengharungi cabaran landskap media yang semakin mencabar.
Katanya, sektor lebuh raya mempunyai banyak kisah menarik untuk dikongsikan kepada masyarakat, bukan sahaja melibatkan pembangunan infrastruktur dan teknologi, malah merangkumi pengorbanan petugas yang berkhidmat tanpa mengira waktu demi keselamatan pengguna.
“Kami (pihak media) memerlukan bantuan dari segi pandangan, pengetahuan dan kepakaran industri bagi membolehkan kita menghasilkan laporan serta penceritaan berita yang lebih baik.
“Bagi pihak wartawan di Malaysia, saya ingin menyeru semua pemain industri dan sektor swasta supaya melabur dalam organisasi media tempatan. Ini bukan permintaan untuk pembelian ruang pengiklanan media, sebaliknya menjadikan organisasi media sebagai rakan strategik.
“Mengharungi cabaran dalam landskap media ketika ini bukan sesuatu yang mudah. Media sedang berdepan tempoh yang amat mencabar, namun ini adalah era kerjasama.
“Walaupun organisasi media bersaing antara satu sama lain, kita juga perlu bekerjasama dalam menghadapi cabaran industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Industri Lebuh Raya (AIL) 2026 yang turut meraikan ulang tahun ke-46 Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) malam Khamis.
Dalam majlis sama, Datuk Ashwad turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR), Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dan LLM, khususnya Pusat Pengurusan Trafik (TMC) atas sinergi strategik bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Beliau menegaskan, kepantasan penyaluran maklumat dan lintas langsung laporan trafik melalui pelbagai platform media terutamanya pada musim perayaan dan waktu puncak perlu sentiasa diiringi dengan ketepatan serta kesahihan agar ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna lebuh raya.
“Kerjasama utuh antara agensi kerajaan, kementerian, swasta, dan syarikat penyiaran disifatkan sebagai elemen penting dalam menyampaikan maklumat demi kemaslahatan masyarakat dan kemajuan industri lebuh raya negara,” katanya.