Hasil bedah siasat pelajar UiTM tunggu keputusan makmal

Foto hiasan

MARAN, 6 September – Hasil bedah siasat pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang meninggal dunia ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka, masih menunggu keputusan makmal (Pending Laboratory Investigations).

RINGKASAN BERITA AI
  • Unit Forensik HoSHAS, Temerloh menjalankan pembedahan ke atas Fadhlan Fakhry.
  • Siasatan lanjut dijalankan; Fadhlan alami penurunan oksigen semasa acara 4 September, dirujuk ke HoSHAS dan meninggal dunia di ICU.
  • Peserta lain dilaporkan stabil dan dipantau; polis nasihatkan jangan berspekulasi serta awam diminta elak aktiviti lasak akibat cuaca panas dan jerebu.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai dalam kenyataan memaklumkan, pembedahan ke atas Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21 tahun dijalankan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh pada Sabtu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Fadhlan Fakhry sebelum itu mengalami penurunan paras oksigen ketika acara lasak pada 4 September lalu.

“Mangsa kemudian dirujuk ke HoSHAS dan meninggal dunia pada pukul 2.08 petang pada Sabtu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, seorang peserta yang mengalami penurunan paras oksigen kini dirawat di ICU, manakala seorang lagi kini ditempatkan di wad hospital sama dan dilaporkan stabil.

Enam peserta lagi yang mendapatkan rawatan di Hospital Jengka turut dilaporkan stabil dan masih dalam pemantauan.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan mengelakkan aktiviti lasak susulan cuaca panas dan jerebu, dengan purata bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat iaitu 162.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.