
SERDANG, 6 September – Malaysia akan terus memperkukuh hubungan dengan kuasa besar dunia dan negara anggota ASEAN bagi memastikan negara lebih bersedia berdepan cabaran global yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
- Krisis iklim mengancam sektor pertanian dan keterjaminan makanan rakyat.
- Pencairan glasier Himalaya boleh mencetus banjir besar yang meragut nyawa dan menjejaskan keselamatan.
- Langkah tersusun perlu dirancang dan dilaksanakan untuk mengurangkan risiko yang sukar diduga.
- Peralihan tenaga diteruskan bagi mengurangkan kebergantungan pada bahan api fosil dan arang batu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata antara cabaran utama ialah krisis iklim yang semakin mengancam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
“Dunia ini tidak dapat sentiasa terkawal. Glasier ais di Himalaya yang berusia ribuan tahun boleh lebur, menjadi banjir yang paling besar di Nepal.
“Itu yang meragut begitu banyak nyawa dan keselamatan bukan sahaja rakyat Nepal, malah rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau menyatakannya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di sini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, meskipun sesetengah kesan perubahan iklim sukar diduga, langkah yang mampu dirancang perlu dilaksanakan dengan lebih tersusun bagi mengurangkan risikonya.
“Sebab itu transisi tenaga kita lakukan. Kebergantungan pada bahan api fosil dan arang batu kita kurangkan,” katanya.