Bacaan IPU kembali meningkat, Selangor tingkat pemantauan

Keadaan jerebu di Selangor

SHAH ALAM, 6 September – Kerajaan Negeri Selangor memperkukuh kesiapsiagaan semua agensi berkaitan bagi menghadapi situasi jerebu susulan peningkatan semula bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), di beberapa kawasan di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan dan penguatkuasaan dipertingkat, fokus mencegah pembakaran terbuka bersama agensi berkaitan.
  • Beberapa kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, menunjukkan kualiti udara merosot di negeri itu.
  • Orang ramai diminta lapor pembakaran terbuka melalui Hotline JAS 1-800-88-2727 atau aplikasi eAduan JAS; golongan berisiko dinasihat kurangkan pendedahan.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaludin dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan negeri mengambil serius peningkatan bacaan IPU yang boleh menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat.

“Pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkat, khususnya bagi mencegah sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

“Langkah itu dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri serta Jabatan Pendidikan Negeri,” menurut kenyataan itu.

Setakat pukul 4.00 petang tadi, enam kawasan di Selangor merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.

Johan Setia mencatat bacaan tertinggi iaitu 181, diikuti Shah Alam 168, Petaling Jaya 157, manakala Kuala Selangor 158, Klang 156 dan Banting 155.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” tambah kenyataan itu.

Orang ramai juga diminta melaporkan aktiviti pembakaran terbuka kepada Jabatan Alam Sekitar melalui Hotline JAS 1-800-88-2727 atau aplikasi eAduan JAS.

Pada masa sama, golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit jantung dan sistem pernafasan dinasihatkan mengurangkan pendedahan kepada jerebu.

Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan kualiti udara bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) bagi menentukan tindakan sewajarnya sekiranya keadaan terus merosot.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.