Belanjawan 2027: Peruntukan KPKM perlu ditambah demi manfaat petani, nelayan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat ke Pavilion Negeri selepas Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026, di sini. / Foto BERNAMA

SERDANG, 6 September – Peruntukan bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam Belanjawan 2027 perlu ditambah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Manfaat mesti disalurkan terus kepada petani, pesawah, peladang dan nelayan untuk memperbaiki pendapatan serta keberdayaan komuniti tani.
  • Kerajaan MADANI memberi tumpuan khas kepada program kementerian; gesaan Menteri akan dipertimbangkan semasa merangka belanjawan.
  • Pertambahan peruntukan perlu disertai tatakelola ketat, cermat dan berintegriti bagi mengelakkan ketirisan serta kebocoran dana.
  • MAHA 2026 mencatat kejayaan luar biasa sebagai platform industri, mengumpulkan pempamer, agensi dan institusi untuk inovasi serta peluang perniagaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan manfaat dapat disalurkan secara langsung kepada petani, pesawah, peladang serta nelayan.

“Sebab Kerajaan MADANI memberikan tumpuan khas kepada kegiatan perkembangan program kementerian ini dan perkara yang digesa oleh Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu saya fikirkan ketika merangka belanjawan bulan depan.

“Sekadar perbincangan awal kita, saya sebutkan tadi beberapa tonggak dan ikhtiar baharu kementerian dan program pertanian ini masih merupakan fokus dan saya percaya peruntukan itu harus ditambah sesuai dengan prestasi yang membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Datuk Seri Anwar menegaskan sebarang pertambahan peruntukan perlu disertai tatakelola yang ketat, cermat dan berintegriti bagi mengelakkan ketirisan atau kebocoran dana.

Dalam pada itu, beliau memuji kejayaan penganjuran MAHA 2026 yang mencatat pencapaian luar biasa dan rekod kehadiran tertinggi dalam sejarah.

Pameran itu merekodkan lebih 4.3 juta pengunjung dengan nilai jualan keseluruhan RM66.88 juta.

MAHA edisi ke-14 berlangsung dari 28 Ogos hingga hari ini, membabitkan kira-kira 2,000 pempamer.

Pameran itu menjadi platform utama sektor pertanian negara yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, usahawan serta institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi bagi mengetengahkan inovasi, teknologi dan peluang perniagaan dalam sektor agromakanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.