
MELAKA, 22 November- Ketua Jurulatih Melaka FC E Elavarasan mahu anak buahnya terus menampilkan aksi konsisten, bagi memastikan pasukan itu dapat meningkatkan mutu permainan dalam saingan Liga Super musim ini.
- Perlawanan berakhir seri 2-2; Melaka dua kali mendahului namun gagal mengekalkan kelebihan.
- Melaka kehilangan dua mata kerana dua gol mudah dan kelemahan pertahanan perlu diperbaiki segera.
- Star City puji komitmen pemain dan sumbangan gantian; Melaka kini di tangga keenam dengan 10 mata.
Beliau berkata setiap perlawanan menuntut prestasi tinggi daripada pemain dan perkara itu turut menjadi tanggungjawabnya sebagai jurulatih, dalam memastikan pasukan terus mencapai tahap permainan yang diharapkan.
“Sudah tentu kita mempunyai sasaran yang perlu dicapai dan tuntutan itu mesti ada, bukan sahaja terhadap pemain tetapi juga saya sebagai jurulatih. Jika tidak, kita tidak akan mencapai tahap yang diharapkan.
“Kita perlu terus berusaha dan menamatkan musim ini dengan baik, sebelum menilai kedudukan serta pencapaian pasukan dalam liga,” katanya selepas perlawanan menentang Star City FC di Stadium Hang Jebat, Krubong, malam tadi.
Dalam perlawanan itu, Melaka FC terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas terikat 2-2 dengan Star City FC, meskipun dua kali mendahului perlawanan.
Pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Jafri Firdaus Chew, sebelum Star City FC menyamakan kedudukan menerusi tandukan Pedro Henrique Oliveira da Silva pada minit ke-55.
Melaka FC kembali di depan lima minit kemudian menerusi jaringan Noel Abgre, sebelum pasukan pelawat berjaya mengikat kedudukan 2-2, menerusi sepakan penalti Douglas Felisbino pada minit ke-68 selepas pemain itu dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Mengulas prestasi pasukannya, Elavarasan mengakui Melaka FC kehilangan dua mata selepas gagal mempertahankan gawang dua kali, selain menyifatkan gol yang dilepaskan sebagai jaringan mudah yang perlu diperbaiki.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Star City FC Mehmet Durakovic berkata beliau berpuas hati dengan komitmen pemainnya sepanjang perlawanan, meskipun mengakui pasukannya berpeluang membawa pulang tiga mata berdasarkan beberapa peluang yang dicipta.
Beliau turut memuji sumbangan pemain gantian dan menyifatkan Melaka FC sebagai pasukan yang mempunyai pemain import serta tempatan berkualiti, sekali gus menjadikan perlawanan itu bukan tugas mudah buat anak buahnya.
Durakovic berkata pasukannya akan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Kuala Lumpur minggu depan, selepas menjalani beberapa sesi pemulihan.
Melaka FC kini berada pada kedudukan keenam Liga Super selepas mengutip sepuluh mata diikuti Star City FC di tempat ketujuh dengan enam mata.- BERNAMA