
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Johan Mahmood Merican
PULAU TUBA, 22 November – Akses kepada perlindungan kesihatan dan kewangan yang lebih baik antara manfaat utama menerusi penganjuran Karnival 3K di sini, Langkawi.
- mySalam menawarkan bayaran RM8,000 sekali seumur hidup untuk 50 penyakit kritikal serta manfaat hospitalisasi RM50 sehari sehingga RM700 setahun.
- Karnival menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma, sesi taklimat kewangan dan aktiviti BijakWang bagi meningkatkan celik kewangan masyarakat.
- Agihan 400 bakul makanan dan 400 beg sekolah membantu meringankan beban keluarga setempat.
Menerusi inisiatif mySalam, penduduk, khususnya mereka yang memenuhi syarat kelayakan, berpeluang mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai manfaat skim perlindungan takaful percuma yang disediakan kerajaan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, pendedahan secara langsung itu penting bagi memastikan penduduk Pulau Tuba tidak terlepas peluang mendapatkan perlindungan kewangan, khususnya ketika berdepan masalah kesihatan yang boleh menjejaskan sumber pendapatan keluarga.
“Antara manfaatnya ialah meningkatkan celik kewangan, khususnya supaya masyarakat lebih memahami manfaat yang disediakan menerusi program mySalam.
“Seperti yang diketahui, kerajaan menyediakan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang melibatkan hampir sembilan juta penerima di seluruh negara. Di Langkawi, jumlah penerima melebihi 30,000 orang, manakala di Pulau Tuba khususnya, terdapat kira-kira 4,000 penerima,” katanya demikian selepas majlis perasmian Karnival 3K di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus dan Ketua Unit mySalam, Syuhaib Ithnin.
Tan Sri Johan berkata, sehingga 30 Oktober lalu, lebih dua juta penerima telah menikmati manfaat mySalam, dengan jumlah pembayaran tuntutan melebihi RM1.58 bilion.
Karnival yang berteraskan tiga elemen utama, iaitu Kewangan, Kesihatan dan Kebajikan itu turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma, sesi taklimat kewangan serta aktiviti BijakWang.
Sebanyak 400 bakul makanan dan 400 beg sekolah turut diagihkan kepada penduduk serta pelajar setempat bagi membantu meringankan beban keluarga.
mySalam menyediakan bayaran RM8,000 secara sekali seumur hidup kepada penerima yang disahkan menghidap salah satu daripada 50 penyakit kritikal yang dilindungi.
Selain itu, penerima turut layak mendapat manfaat hospitalisasi sebanyak RM50 sehari, sehingga maksimum 14 hari atau RM700 setahun, tertakluk kepada syarat dan kelayakan skim.