
KUALA LUMPUR, 22 November – Kuasa pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- Kuasa melantik Menteri Besar Negeri Sembilan ditentukan oleh Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz.
- BN tidak akan mencampuri urusan adat dan undang-undang negeri; menyerahkan penyelesaian kepada pihak berkenaan.
- BN akan mencari jalan penyelesaian terbaik selepas mendapat perkenan baginda untuk menyusun pentadbiran kerajaan negeri.
- Kepentingan rakyat diutamakan; perbezaan pandangan diselesaikan melalui kepimpinan parti, bukan menerusi media.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, pihaknya tidak akan mencampuri urusan berkaitan adat dan undang-undang negeri, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkenaan untuk diselesaikan.
“Kita serahkan kuasa pelantikan ini kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan kita tidak akan pernah melanggar sebarang perkara yang termaktub di dalam perlembagaan negeri,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-4 di Dewan San Choon Wisma MCA hari ini.
Mengulas mengenai pertemuan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan semalam, beliau berkata BN akan mencari jalan penyelesaian terbaik agar pentadbiran kerajaan negeri dapat disusun atur selepas mendapat perkenan baginda.
Katanya, kepentingan rakyat perlu diberikan keutamaan, manakala sebarang perbezaan pandangan atau salah faham perlu diselesaikan melalui saluran kepimpinan parti dan bukannya mencetuskan polemik menerusi media.
“Saya harap tiada polemik dalam kalangan pemimpin Pemuda BN walaupun mungkin terdapat salah tafsiran dan salah faham. Ini bukan masanya untuk kita berpolemik kerana kita mempunyai pandangan berbeza.
“Jika ada salah faham mengenai sesuatu isu, jangan gunakan media untuk kita menyatakan pendirian diri biar kepimpinan utama parti-parti yang selesaikan. Kita tidak mahu masyarakat keliru dan mentafsir mengenai sesuatu isu,” katanya.