
KUALA LUMPUR, 6 September – Cabaran perubahan iklim dunia termasuk situasi jerebu susulan kebakaran hutan di Indonesia antara perkara dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore.
- Perbincangan menekankan komitmen dan langkah Malaysia melaksanakan peralihan tenaga dari bahan api fosil kepada sumber tenaga lebih bersih dan mampan.
- Usaha peralihan tenaga selaras iltizam Kerajaan MADANI membina negara progresif, berdaya tahan ekonomi serta memelihara kelestarian alam demi generasi akan datang.
- Perdana Menteri menjemput Al Gore melawat Malaysia untuk meneruskan perbincangan dan meneroka kerjasama mempercepat agenda peralihan tenaga negara.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata perbincangan itu turut menyentuh komitmen dan langkah Malaysia dalam melaksana peralihan tenaga daripada kebergantungan kepada bahan api fosil kepada sumber tenaga lebih bersih dan mampan.
“Usaha berkenaan selaras iltizam Kerajaan MADANI untuk membina negara progresif dan berdaya tahan dari segi ekonomi, selain bertanggungjawab memelihara kelestarian alam demi kesejahteraan generasi akan datang,” menurut hantaran tersebut.
Dalam perbincangan sama, Perdana Menteri turut menyampaikan undangan kepada Al Gore untuk melawat Malaysia dalam masa terdekat.
Lawatan itu diharap dapat membuka ruang untuk meneruskan perbincangan serta meneroka kerjasama lebih bermakna dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan mempercepat agenda peralihan tenaga negara.