Program MADANI Kita perkasa khidmat kepada rakyat

Dr. Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR, 6 September – Program MADANI Kita yang berkonsepkan turun padang menjadi wadah mendekati rakyat, sekali gus menyediakan ruang untuk mendapatkan maklumat, menyuarakan pandangan serta mengemukakan kemusykilan, khususnya berkaitan hal ehwal agama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menjadi jambatan antara kerajaan dan komuniti untuk memahami keperluan serta permasalahan rakyat.
  • Dilaksanakan melalui kerjasama sektor korporat, masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan.
  • Penyampaian Tabung Musa’adah hampir RM100,000 termasuk Bakul Rahmah serta sumbangan kepada masjid sekitar RM50,000.
  • Pelbagai aktiviti khidmat masyarakat: edaran topi keledar, pemeriksaan kesihatan, hafazan, pertandingan dan Jualan Rahmah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, program berkenaan merupakan platform yang mendekatkan perkhidmatan awam dengan masyarakat, selain menjadi jambatan antara kerajaan dan komuniti dalam memahami keperluan serta permasalahan rakyat.

“Kita ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama membangunkan negara ini. Apa juga keperluan dan persoalan, kita boleh laksanakan sebaik mungkin secara kerjasama.

“Alhamdulillah, kita menerima pelbagai persoalan, penerangan dan juga idea daripada rakyat. Kehadiran mereka juga amat memberangsangkan.

“Insya-Allah, apa yang kita lakukan ini akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan sektor korporat, masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan (NGO). Kita bergerak secara bersama,” katanya pada Program Madani Kita: Bersama Komuniti Lembah Pantai di ibu negara.

Program yang diadakan bersama komuniti Lembah Pantai itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan Tabung Musa’adah JAKIM-YWM hampir RM100,000 termasuk Bakul Rahmah serta sumbangan untuk masjid-masjid di sekitarnya berjumlah RM50,000.

Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti Edaran Topi Keledar, Minyak Hitam dan Gunting Rambut Percuma, Pertandingan Marhaban, Hafazan Kids Challenge, Slot Semarak Kasih Kita, Pemeriksaan Kesihatan serta Jualan Rahmah.

Antara agensi agama yang terlibat ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) serta agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.