Op Banjir Kelantan: 1,745 anggota polis, 55 bot siap siaga hadapi banjir

Foto RTM

KOTA BHARU, 24 November – Seramai 1,745 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan serta 55 bot berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL).

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Banjir Kontinjen Kelantan diaktifkan bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan sekiranya berlaku bencana.
  • Seramai 557 anggota ditempatkan dalam 80 pasukan penyelamat, 352 bertugas di bilik gerakan dan 836 bersiap siaga.
  • Sebanyak 55 bot disediakan untuk membantu operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir.
  • Pasukan diminta mengutamakan golongan rentan serta menyampaikan maklumat rasmi dengan pantas dan tepat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, Op Banjir Kontinjen Kelantan telah diaktifkan bagi memastikan tindakan segera dapat dilaksanakan sekiranya berlaku bencana di negeri itu.

Menurut beliau, kekuatan tersebut membabitkan 249 pegawai kanan dan 1,496 pegawai rendah polis yang akan digerakkan mengikut keperluan operasi.

“Daripada jumlah itu, seramai 557 anggota ditempatkan dalam 80 pasukan penyelamat, manakala 352 anggota lagi bertugas di bilik gerakan banjir di semua daerah.

“Baki 836 anggota pula berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan sekiranya diperlukan.

“PDRM Kelantan turut menyediakan 55 bot bagi membantu operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir.

“Insya-Allah, kita bersedia untuk menghadapi banjir ini dengan kekuatan 1,745 warga PDRM sahaja, termasuk pasukan penyelamat dan bilik gerakan. Begitu juga dengan bot, kita ada 55 bot yang bersedia untuk operasi menyelamat.

“Kita sudah lama berpengalaman menghadapi banjir di tempat kita ini yang berlaku setiap tahun. Insya-Allah, kita harap banjir tahun ini tidak besar,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pasukan supaya memberi keutamaan kepada golongan rentan, khususnya warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU), ketika melaksanakan pemindahan penduduk terjejas banjir.

Beliau turut menegaskan kepentingan penyampaian maklumat secara pantas dan tepat, terutama berkaitan penutupan jalan serta lokasi pusat pemindahan sementara (PPS), menerusi saluran rasmi bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.