
ISKANDAR PUTERI, 24 November – Johor merekodkan jumlah tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) tertinggi di negara ini dengan 5,892 individu ditahan bagi tempoh sehingga 31 Oktober lalu.
- Operasi penguatkuasaan turut menahan 370 majikan yang terbabit.
- Seramai 2,055 individu yang ditahan ialah warga Myanmar, termasuk 85 warga Rohingya dan lima kanak-kanak.
- Johor mencatatkan 21,484 pelarian pemegang kad UNHCR, dengan 12,367 orang di Johor Bahru.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, operasi penguatkuasaan dalam tempoh itu turut menyaksikan penahanan 370 majikan yang terbabit.
“Daripada jumlah keseluruhan tangkapan, seramai 2,055 individu merupakan warga Myanmar, termasuk 85 warga Rohingya yang terdiri daripada lima kanak-kanak.
“Antara isu yang turut menjadi perhatian kerajaan negeri ialah penglibatan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam aktiviti perniagaan.
“UNHCR ini kalau ikut garis panduan, mereka tidak boleh berniaga, tetapi mereka kena bekerja, sekadar cukup makan, kerja-kerja pembersihan dan sebagainya. Kalau tidak, akhirnya kerajaan kena tanggung kos-kos mereka, dan inilah saya ingat antara perkara pokok yang kita di peringkat negeri hadapi,” katanya ketika menjawab berkenaan isu tersebut pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Kota Iskandar.

Dalam perkembangan berkaitan, Johor merekodkan seramai 21,484 pelarian pemegang kad UNHCR setakat 31 Oktober lalu.
Daripada jumlah itu, Johor Bahru mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 12,367 orang.