
SERDANG, 6 September – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 melabuhkan tirai hari ini dengan melakar pencapaian yang cukup memberangsangkan.
- KPKM melaporkan 4.3 juta pengunjung dan 854,311 kenderaan hadir setakat semalam.
- Nilai jualan hampir RM67 juta; 97 MoU bernilai lebih RM10 bilion turut dimeterai.
- MAHA 2026 tekankan teknologi moden, inovasi, peluang belia, dan penglibatan 14 negara untuk perluas pelaburan serta pasaran eksport.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pameran itu merekodkan 4.3 juta pengunjung dengan kehadiran 854,311 kenderaan, setakat semalam.
Nilai jualan keseluruhan pula mencecah hampir RM67 juta, selain 97 memorandum persefahaman (MoU) bernilai lebih RM10 bilion turut dimeterai.
“Kejayaan MAHA 2026 membuktikan bahawa sektor agro dan agromakanan negara mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai sektor moden, berdaya saing dan berteraskan teknologi,” menurut kenyataan itu.

Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026 disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.
“Kehadiran Perdana Menteri merupakan cerminan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sektor agromakanan, pertanian dan industri asas tani sebagai pemacu penting pembangunan ekonomi negara,” jelas KPKM.
Bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, MAHA 2026 menghimpunkan ekosistem agro dan agromakanan negara, selain mengetengahkan perkembangan teknologi, inovasi serta peluang perniagaan dalam sektor berkenaan.
Selaras usaha memodenkan sektor itu, penganjuran kali ini turut membuka ruang kepada golongan belia untuk meneroka peluang kerjaya dan keusahawanan dalam bidang agromakanan.
“Penekanan diberi kepada teknologi dan inovasi agro, termasuk pertanian pintar, automasi, dron, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) serta teknologi makanan,” menurut kenyataan itu.

Dimensi antarabangsa MAHA 2026 pula diperkukuh menerusi penyertaan 14 negara yang membuka peluang kepada pertukaran teknologi, pelaburan, pembangunan kapasiti serta peluasan pasaran eksport produk agromakanan Malaysia.
Antara tarikan utama yang diketengahkan ialah Laman Padi, Laman Nanas, Laman Sayur, Laman Herba, Laman Jagung & Bawang, Laman Florikultur, Laman Perikanan dan Laman Smart Farming.
Turut ditampilkan ialah Laman Veterinar, Pavilion Negeri, Agrosafari, Perkampungan Bang Mat, Rhythm of the Farmers (ROTF) serta Kiddies Wonderland.
Pameran yang berlangsung selama 10 hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, melibatkan 1.72 juta belia, lebih 2,000 pempamer serta delegasi antarabangsa.
Kejayaan penganjuran turut disokong penglibatan kementerian, agensi, kerajaan negeri, pemain industri, usahawan, rakan strategik dan sukarelawan.
“Segala jaringan, kerjasama dan peluang yang tercetus sepanjang penganjuran diharap dapat diteruskan untuk memberi manfaat berpanjangan kepada industri dan ekonomi negara,” menurut KPKM.