
DUNGUN, 7 September – Seorang bayi perempuan berusia empat bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di
Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), dekat sini hari ini.
- Pengurusan taska mendapati bayi tidak sedarkan diri selepas tidur dan diberi susu, kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Durian Mas untuk rujukan.
- Setiba di hospital, usaha menyelamat termasuk CPR dijalankan namun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 12.45 tengah hari.
- Pemeriksaan awal tidak menemui kecederaan fizikal jelas; proses bedah siasat akan dijalankan untuk menentukan punca sebenar kematian.
- Polis membuka siasatan di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001; dua pengasuh, ibu bapa dan saksi akan diambil keterangan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata kejadian berlaku di sebuah taska di Bandar AMBS kira-kira 10 pagi tadi.
“Pihak pengurusan taska mendapati mangsa tidak sedarkan diri selepas tidur dan diberikan susu.
“Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Durian Mas sebelum dirujuk ke Jabatan Kecemasan Hospital Dungun untuk rawatan lanjut,” katanya.
Setiba di hospital, pihak perubatan menjalankan pemeriksaan dan usaha menyelamat termasuk bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 12.45 tengah hari.
Mangsa sebelum itu dihantar oleh ibunya ke taska berkenaan kira-kira 8 pagi dalam keadaan sihat dan baik.
Nik Ab Halim berkata pihak polis menerima laporan kejadian itu pada 3.45 petang.
“Berdasarkan pemeriksaan awal, tidak menemukan sebarang kecederaan fizikal yang jelas pada tubuh bayi berkenaan dan proses bedah siasat akan dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata dua pengasuh yang bertugas ketika kejadian telah dikenal pasti dan keterangan mereka akan diambil bagi membantu siasatan.
Polis turut akan mengambil keterangan ibu bapa dan saksi berkaitan serta mendapatkan laporan dan pandangan pihak perubatan.
Kertas siasatan dibuka mengikut seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menentukan sama ada wujud unsur kecuaian atau pengabaian ketika mangsa di bawah jagaan pihak taska.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sehingga siasatan polis dan laporan perubatan dilengkapkan.