
TUMPAT, 24 Oktober – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 65 ekor kambing yang disyaki diseludup dari Thailand selepas menahan sebuah lori di Pengkalan Kubor, di sini, awal pagi semalam.
- Dua lelaki tempatan, pemandu (22) dan kelindan (28), ditahan kira-kira pukul 1 pagi.
- Pemandu gagal mengemukakan kebenaran bertulis dan sijil kesihatan veterinar bagi pemindahan ternakan.
- Kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan untuk siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, dua lelaki tempatan berusia 22 dan 28 tahun yang masing-masing merupakan pemandu dan kelindan lori itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi.
“Pemeriksaan mendapati pemandu lori gagal mengemukakan kebenaran bertulis dan sijil kesihatan veterinar daripada pihak berkuasa berkaitan bagi pemindahan ternakan berkenaan.
“Menurut keterangan kedua-dua lelaki itu, kambing berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui Sungai Golok menggunakan laluan tidak rasmi di Pengkalan Kubor,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, ternakan itu akan dihantar ke sebuah kandang di Kampung Kok Bedullah sebelum diserahkan kepada pembeli seminggu sekali.
PGA turut merampas sebuah lori jenis bernilai RM90,000 dan 65 ekor kambing yang dianggarkan bernilai RM48,750.
Jumlah keseluruhan rampasan RM138,750.
Kes diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.