
SEREMBAN, 24 Oktober – Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memandang serius dakwaan penglibatan murid sebuah sekolah di sini dalam penyajian minuman beralkohol pada majlis makan malam alumni yang berlangsung pada 5 September lepas.
- JPNS memandang serius dakwaan melibatkan pelajar dalam majlis yang berkaitan minuman beralkohol.
- Pihak sekolah dan persatuan alumni menafikan dakwaan tersebut.
- JPNS sedang meneliti keterangan aduan melalui SISPAA dan pematuhan prosedur pihak sekolah.
- Tindakan akan diambil jika terdapat pelanggaran peraturan; kebajikan, keselamatan dan maruah murid diutamakan.
Menerusi kenyataan JPNS memaklumkan, murid sekolah tidak sepatutnya terlibat dalam kegiatan mengendalikan atau menghidangkan minuman beralkohol.
“Pihak sekolah serta persatuan alumni telah menafikan dakwaan terbabit.
“Bagaimanapun, JPNS sedang meneliti semua keterangan yang diterima menerusi aduan yang diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam, (SISPAA) termasuk penelitian terhadap pematuhan prosedur pihak sekolah.
“Tindakan sewajarnya bakal diambil sekiranya terdapat pelanggaran peraturan atau kecuaian,”menurut kenyataan berkenaan.
JPNS menegaskan, kebajikan, keselamatan serta maruah murid sentiasa menjadi keutamaan.