
PARIS, 21 November – Bekas Perdana Menteri Perancis, Dominique de Villepin memulakan kempen Pilihan Raya Presiden 2027 menerusi pertemuan bersama rakyat di Garges-lès-Gonesse, pinggir utara Paris, pada Jumaat.
- Mengumumkan niat bertanding Pilihan Raya Presiden 2027; menegaskan Perancis perlu dikembalikan ke landasan yang betul.
- Bekas Perdana Menteri dan Menteri Luar, terkenal di peringkat antarabangsa kerana kritikan terhadap rancangan serangan Iraq 2003.
- Tinjauan ramalkan pusingan kedua mungkin antara Marine Le Pen dan Jean-Luc Mélenchon; sokongan Villepin dijangka hanya peratusan undi satu digit.
- Menubuhkan parti Humanist France tetapi tetap menegaskan beliau mampu membawa perubahan kepada negara.
Villepin, 73, yang sebelum ini mengumumkan hasrat untuk bertanding bagi jawatan itu berkata Perancis perlu dikembalikan ke landasan yang betul susulan keadaan negara yang disifatkannya semakin merosot.
“Dalam perjuangan yang ingin saya bawa dalam beberapa bulan akan datang, terdapat satu matlamat iaitu kita perlu mengembalikan negara ke landasan yang betul,” katanya.
Villepin yang juga bekas Menteri Luar Perancis, dikenali di peringkat antarabangsa menerusi kritikan kerasnya terhadap rancangan Amerika Syarikat untuk menyerang Iraq pada 2003.
Villepin bakal menyertai persaingan merebut jawatan Presiden bagi menggantikan Emmanuel Macron, dengan tinjauan pendapat setakat ini menunjukkan kemungkinan pertembungan pusingan kedua antara Marine Le Pen daripada parti National Rally (RN) berhaluan kanan jauh dan Jean-Luc Mélenchon daripada parti France Unbowed (LFI) berhaluan kiri radikal.
Bagaimanapun, tinjauan setakat ini mengunjurkan Villepin yang menubuhkan parti politiknya, Humanist France, hanya mampu meraih peratusan undi satu digit yang rendah.
Namun, bekas diplomat itu tetap menegaskan bahawa beliau merupakan individu yang mampu membawa perubahan kepada negara.
Villepin berkhidmat sebagai Menteri Luar dari 2002 hingga 2004 dan Perdana Menteri dari 2005 hingga 2007 di bawah pentadbiran bekas Presiden berhaluan kanan, Jacques Chirac.-AFP