Jordan isytihar tiga hari berkabung susulan serangan di gereja

Kejadian tembakan Gereja Hamoud di wilayah Karak di selatan Jordan/ VIORY

AMMAN, 24 Oktober – Lapan orang maut manakala puluhan lagi cedera selepas tiga lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah Gereja Hamoud di wilayah Karak di selatan Jordan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Raja Abdullah II mengutuk serangan, berjanji hukuman paling berat dan menyeru perpaduan serta menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa.
  • Menteri Komunikasi mengumumkan tiga hari berkabung nasional; bendera dikibarkan separuh tiang atas arahan Perdana Menteri.
  • Menteri Dalam Negeri kata kejadian belum pernah berlaku; kejadian itu turut dikutuk oleh pelbagai negara antarabangsa.

Kejadian pada Jumaat itu menyaksikan tiga lelaki bersenjata muncul di pintu masuk lalu melepaskan tembakan, menyebabkan orang ramai bertempiaran mencari perlindungan.

TIga individu berkenaan turut dilihat bergerak di sekitar halaman gereja, dengan beberapa mangsa terbaring di atas tanah.

Selepas kejadian pasukan keselamatan Jordan melakukan operasi untuk mencari ketiga-tiga lelaki bersenjata itu selepas melarikan diri dari tempat kejadian.

Media kerajaan Jordan pada Sabtu melaporkan jumlah korban meningkat kepada lapan orang. Menteri Kesihatan, Ibrahim Al Badour, berkata 27 mangsa yang cedera masih menerima rawatan di hospital.

Raja Jordan Raja Abdullah II mengutuk kejadian itu dan berjanji akan mengenakan “hukuman paling berat” terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Menerusi hantaran di platform X, baginda turut menegaskan kepentingan perpaduan nasional Jordan, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih.

Menteri Komunikasi Mohammad Al Momani, mengumumkan tiga hari berkabung di seluruh negara, dengan bendera dikibarkan separuh tiang atas arahan Perdana Menteri Jordan Jafar Hassan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Jordan, Mazen Al Faraya, menyatakan kejadian berkenaan belum pernah berlaku dalam sejarah Kerajaan Hashemite.

Serangan itu mengundang kecaman meluas masyarakat antarabangsa, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Arab Saudi, Amerika Syarikat (AS) dan Jerman.- VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.