
BEIJING, 24 Oktober – Taufan Champi bergerak menuju China pada Sabtu selepas membadai Taiwan dan kepulauan paling selatan Jepun, menyebabkan bekalan elektrik ribuan isi rumah terputus selain ratusan penerbangan dibatalkan.
- JTWC menurunkan status Champi kepada ribut tropika dengan kelajuan angin sekitar 102 kilometer sejam.
- Lebih 5,000 penduduk dipindahkan; satu maut dan lebih 600 cedera; banjir kilat, pokok tumbang dan talian elektrik terputus.
- Champi pernah mencapai status supertaufan dengan angin hampir 300 km/j, dipengaruhi fenomena El Nino yang melampaukan musim ribut Pasifik.
- China beri amaran angin kencang dan hujan lebat; perkhidmatan kereta api digantung dan puluhan ribu dipindahkan termasuk di Shanghai.
Menurut kemas kini terkini Pusat Amaran Taufan Bersama (JTWC), status amaran Taufan Champi diturunkan kepada ribut tropika apabila kelajuan angin berkurang kepada 102 kilometer sejam.
Pihak berkuasa Taiwan memindahkan lebih 5,000 penduduk dari kediaman masing-masing sebelum ribut itu melanda, yang mengakibatkan pokok tumbang, talian elektrik terputus dan banjir kilat.
Seorang maut manakala lebih 600 lagi cedera sejak Khamis, ketika kerajaan mula mengeluarkan amaran berhubung taufan berkenaan.
Bekalan elektrik telah dipulihkan kepada lebih 90 peratus daripada lebih 340,000 isi rumah yang terjejas, selepas taufan itu membawa angin kencang dan hujan lebat ke beberapa kawasan di Taiwan.
Kebanyakan kedai di utara dan tengah Taiwan ditutup untuk hari kedua berturut-turut ketika taufan itu bergerak meninggalkan kawasan timur laut pulau berkenaan sebelum menuju ke utara, ke arah China.
Pegawai Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan, Wuu Woan-hwa, mengingatkan orang ramai khususnya di kawasan pesisir pantai untuk terus berjaga-jaga.
“Walaupun taufan itu beransur-ansur menjauhi kawasan ini, kami ingin mengingatkan orang ramai bahawa kawasan pesisir pantai masih akan mengalami ombak besar dan tiupan angin kencang,” katanya dalam satu sidang taklimat.
Taufan Champi merupakan ribut terbaharu dalam musim ribut Pasifik yang aktif, dipengaruhi fenomena cuaca El Nino yang meningkatkan pemanasan luar biasa di kawasan khatulistiwa Lautan Pasifik.
Ribut berkenaan sempat mencapai status supertaufan ketika merentasi lautan sejak beberapa hari lalu, dengan kelajuan angin maksimum berterusan dilaporkan hampir 300 kilometer sejam.
Kekuatan ribut itu merosot pada malam sebelumnya ketika ia bergerak dalam laluan berpusing di perairan luar daerah Yilan, di timur laut Taiwan. Kawasan itu menerima hujan sekurang-kurangnya 65 sentimeter sejak Khamis, menurut peramal cuaca.
Setiausaha Martha Wang 55, berkata, beliau bimbang diterbangkan angin ketika menunggang skuter merentasi sebuah jambatan di Bandar New Taipei pada pagi Sabtu.
“Saya benar-benar takut kerana berada di atas jambatan. Skuter saya terhuyung-hayang,” katanya.
Bagaimanapun, pustakawan William Yu, 55, tidak begitu bimbang dengan ribut berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak lebih kuat berbanding taufan lain.
“Saya pergi ke kedai serbaneka untuk makan malam semalam dan semuanya baik-baik sahaja,” katanya.
Menurut penyiar kerajaan China, CCTV, pihak berkuasa negara itu memberi amaran mengenai angin kencang dan hujan lebat ketika Taufan Champi menghampiri pantai timur negara itu.
Beberapa perkhidmatan kereta api digantung, manakala puluhan ribu penduduk dipindahkan dari kediaman masing-masing di Shanghai.
“Beberapa kawasan di Jiangsu, Shanghai, Zhejiang dan wilayah lain dijangka mengalami hujan lebat hingga sangat lebat,” menurut laporan itu.
Ratusan penerbangan turut dibatalkan di rantau berkenaan, termasuk di Okinawa, wilayah paling selatan Jepun. Kerajaan tempatan memaklumkan dua orang cedera akibat taufan itu.
Pelancong di Pulau Ishigaki Eva Malek, 49, dari Poland menunggu perkhidmatan penerbangan disambung semula bagi membolehkan mereka pulang ke negara masing-masing.
“Kami berharap hari ini hari terakhir kami di sini. Bukan mudah untuk mendapatkan maklumat. Kami tidak menyedari keadaan sebenar dan tidak menjangkakan perkara seperti ini berlaku. Apabila taufan melanda, kami tidak menyangka ia akan menjadi begitu kuat,” katanya.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu memberi amaran bahawa fenomena El Nino yang sedang melanda dunia menunjukkan perkembangan luar biasa, sambil menggesa negara-negara mengambil tindakan segera bagi menghadapi kemungkinan kesan yang lebih buruk.
El Nino dijangka mencapai kemuncak pada Disember, namun kesannya terhadap kehidupan manusia dijangka berlanjutan hingga 2027 dan seterusnya.
Fenomena itu mencetuskan perubahan corak cuaca yang boleh meningkatkan risiko kemarau dan banjir, selain memburukkan pemanasan global akibat aktiviti manusia.- AFP