
SHAH ALAM, 24 Oktober – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja bersama pesara, pelabur dan penjawat awam bersempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Baginda di Istana Alam Shah, di sini pada Sabtu.
- Jamuan dihadiri kira-kira 1,500 orang dari Selangor dan merupakan siri terakhir daripada lima siri majlis.
- Sultan berkenan melancarkan Buku Lakaran Indah Institusi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
- Naskhah mendokumentasikan perjalanan serta sumbangan 32 Setiausaha Kerajaan Negeri, diharap menjadi sumber inspirasi kepada pentadbir kini.
Keberangkatan tiba Baginda di Padang Mahkota diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir
Shah.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Jamuan yang dihadiri 1,500 dari sekitar Selangor itu merupakan siri terakhir daripada lima siri yang disusun bersempena dengan sambutan berkenaan.
Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan melancarkan Buku Lakaran Indah Institusi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Naskhah berkenaan merupakan usaha penting untuk mendokumentasikan sejarah, menelusuri perjalanan perkhidmatan serta merakam sumbangan 32 tokoh yang pernah menerajui pentadbiran sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri merentasi pelbagai zaman dan cabaran pembangunan negeri.
Penerbitan buku itu diharap menjadi sumber inspirasi kepada generasi pentadbir negeri masa kini supaya sentiasa mengenang jasa kepimpinan terdahulu, dan amanah pentadbiran kerajaan negeri terus diperkukuh serta kekal terpelihara di bawah naungan Sultan Sharafuddin.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor Datuk Haris Kasim berkata, majlis berkenaan merupakan tanda penghargaan terhadap sumbangan pesara, pelabur dan penjawat awam dalam pembangunan negeri.