
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober – Jenazah adinda kepada Sultan Terengganu, Datuk Seri Dr Tengku Baderul Zaman Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah selamat dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah hari ini.
- Almarhum mangkat pukul 1.20 pagi di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur.
- Jenazah tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pukul 1.20 tengah hari dengan pesawat khas dari Kuala Lumpur.
- Istiadat pemakaman disempurnakan pada 6.10 petang selepas disolatkan di Balai Islam Istana Syarqiyyah.
- Pemangku Raja menetapkan tempoh berkabung tiga hari bermula hari ini hingga 26 Oktober.
Istiadat pemakaman Almarhum Tengku Baderul Zaman yang mangkat pada usia 52 tahun disempurnakan pada 6.10 petang.
Selepas selesai disolatkan di Balai Islam, Istana Syarqiyyah, jenazah Almarhum dibawa ke Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah dan tiba pada 5.03 petang.
Turut berangkat ke Istiadat pemakaman, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
Terdahulu, jenazah Almarhum tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, pukul 1.20 tengah hari menggunakan pesawat khas dari Kuala Lumpur.
Jenazah kemudian dibawa ke Balai Islam, Istana Syarqiyah, Kuala Terengganu, bagi membolehkan kerabat diraja dan tetamu memberikan penghormatan terakhir pukul 2 petang.
Almarhum mangkat pukul 1.20 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur, sebelum jenazah dibawa pulang ke Terengganu.
Almarhum meninggalkan balu Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail dan tiga orang anak.
Sementara itu, Pemangku Raja Terengganu berkenan menetapkan tempoh berkabung selama tiga hari bermula hari ini hingga 26 Oktober.
Majlis tahlil turut diadakan selama tiga malam berturut-turut di Balai Islam, Istana Syarqiyah, Kuala Terengganu.