
KUALA LUMPUR, 7 September – Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang berusaha menghulurkan bantuan terbaik kepada rakyat Malaysia yang terkandas di Indonesia susulan letusan Gunung Anak Krakatau.
- Menteri luarnya meminta keluarga bersabar kerana gangguan operasi penerbangan menghalang penerbangan khas, termasuk pembatalan pesawat komersial.
- Kira-kira 1,500 rakyat Malaysia terjejas akibat pembatalan dan penjadualan semula penerbangan di Jakarta.
- Kedutaan memantau perkembangan, berhubung dengan syarikat penerbangan dan bersedia mencadangkan penginapan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan meminta ahli keluarga rakyat Malaysia yang terkandas supaya bersabar kerana situasi itu melibatkan gangguan operasi penerbangan.
“Ini kerana tidak ada penerbangan khas yang boleh dilakukan. Jadi, kalau boleh dibuat penerbangan khas, kita buat, tetapi penerbangan itu terpaksa dibatalkan termasuk pesawat komersial,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis makan tengah hari bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, di sini.
Kira-kira 1,500 rakyat Malaysia dikenal pasti terjejas susulan pembatalan dan penjadualan semula penerbangan di Jakarta akibat letusan berterusan Gunung Anak Krakatau.
Keduataan Besar Malaysia di Jakarta sedang mendapatkan maklumat dan akan terus memantau perkembangan rakyat Malaysia yang telah melaporkan diri, selain berhubung rapat dengan syarikat penerbangan bagi mendapatkan status terkini operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Rakyat Malaysia yang terjejas dinasihatkan kekal tenang serta menguruskan keperluan penginapan, makanan dan pengangkutan menggunakan sumber peribadi atau bantuan keluarga serta rakan-rakan buat sementara waktu.
Pihak kedutaan bersedia membantu mencadangkan lokasi penginapan yang bersesuaian kepada rakyat Malaysia yang memerlukan.