
BANGKOK, 29 September – Angka korban akibat banjir yang melanda 23 wilayah di Thailand meningkat kepada sekurang-kurangnya 19 orang.
- Kebanyakan kematian dilaporkan akibat lemas atau renjatan elektrik.
- Banjir menjejaskan 49 fasiliti kesihatan, menurut Kementerian Kesihatan Thailand.
- Di Bangkok, kira-kira 700,000 penduduk melibatkan 329,000 isi rumah terjejas.
- Kerajaan mengisytiharkan cuti khas dua hari di Bangkok dan wilayah bersebelahan seperti Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakan.
Menurut media tempatan, kebanyakan kematian dilaporkan berpunca daripada lemas atau renjatan elektrik.
Kementerian Kesihatan Thailand memaklumkan, banjir tersebut turut menjejaskan 49 fasiliti kesihatan.
Di Bangkok sahaja, kira-kira 700,000 penduduk melibatkan 329,000 isi rumah terjejas akibat bencana itu.
Susulan itu, kerajaan Thailand mengisytiharkan cuti khas selama dua hari di Bangkok serta wilayah bersebelahan termasuk Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakan.
Di sebuah kompleks kediaman yang dilanda banjir, penduduk berdepan kesukaran untuk keluar selepas paras air meningkat sehingga mencecah leher individu dewasa.
Pengurus sebuah flat, Suranee Panoh berkata, kawasan berkenaan terputus bekalan elektrik sejak air mula memasuki kompleks itu pada awal pagi Sabtu.
Penduduk turut berdepan masalah bekalan air hingga terpaksa menadah air hujan menggunakan baldi plastik untuk kegunaan harian terutama mencuci peralatan dan pakaian.
Seorang lagi penduduk, Yanika Luangcharoen berkata, dia bersama ibu bapanya kini bergantung kepada lilin sebagai sumber cahaya.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, pihak berkuasa kini memberi keutamaan kepada usaha menurunkan paras air di terusan utama bagi membantu aliran air keluar dari jalan raya serta kawasan perumahan. – AFP