Tun Dr Siti Hasmah doktor wanita perintis negara

Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah

Latar Awal dan Pendidikan

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelopor wanita Melayu dalam perubatan, antara wanita Melayu pertama menuntut dan berkhidmat sebagai doktor sejak 1947 hingga tamat latihan klinikal 1955.
  • Mencipta sejarah dalam kesihatan ibu dan anak, dilantik pegawai perubatan Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak 1965 dan Pegawai Kesihatan Negeri Kedah 1974.
  • Aktif di pentas antarabangsa memerangi dadah, memperjuangkan kesihatan mental dan hak wanita, mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Wanita PBB 1995.

Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang meninggal dunia pagi ini meninggalkan legasi panjang sebagai antara wanita Melayu terawal dalam bidang perubatan serta tokoh yang banyak menyumbang kepada kesihatan awam, pendidikan dan kebajikan masyarakat.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Allahyarham merupakan anak keenam daripada 10 beradik.

Beliau mula bersekolah di Methodist Girl’s School, Kuala Lumpur pada pada 1932 kemudian ke St. Mary’s School, Kuala Lumpur dan Lulus Sijil Persekolahan Sekolah Perempuan Inggeris Pudu, Kuala Lumpur pada 1941.

Pelopor Wanita Melayu Bidang Perubatan

Selepas Perang Dunia Kedua, Allahyarhamah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura pada 1947, menerusi biasiswa kerajaan dan menjadi satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.

Kemudian Allahyarhamah menyambung pengajiannya di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura, Universiti Malaya pada 1949.

Kerjaya Awal Sebagai Doktor

Beliau menamatkan pengajian sebagai doktor perubatan pada 1955 sebelum menjalani latihan siswazah di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Pada 5 Ogos 1956, beliau berkahwin dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum berpindah ke Alor Setar dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar.

Mencipta Sejarah Kesihatan Ibu dan Anak

Pada 1965, beliau mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak, sebelum sekali lagi mencatat sejarah pada 1974 apabila dilantik sebagai wanita pertama sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri Kedah.

Selain tugas klinikal, Allahyarhamah turut menulis mengenai perubatan keluarga serta faktor sosioekonomi berkaitan kehamilan dan kelahiran di Malaysia.

Memerangi Salah Guna Dadah dan Memperjuangkan Kesihatan Mental

Pada 1985, atas jemputan bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, Nancy Reagan, beliau menghadiri First Ladies’ Conference on Drug Abuse di Washington, D.C., sebelum mewakili Malaysia pada International Conference on Drug Abuse and Illicit Trafficking di Vienna pada 1987.

Minat dan keprihatinan beliau terhadap kesihatan turut merangkumi aspek kesihatan mental.

Allahyarhamah pernah dijemput bekas Wanita Pertama Amerika Syarikat, Rosalynn Carter, untuk menyertai National Committee of the World Federation of Mental Health.

Tokoh Wanita di Pentas Antarabangsa

Dalam bidang wanita dan pembangunan antarabangsa pula, Allahyarhamah pernah menjadi penaung Pan Pacific South East Asia Women’s Association (PESAWA) Malaysia serta menghadiri dan menyampaikan ucaptama pada persidangan tiga tahunannya di Tokyo pada 1984, Bangkok pada 1991 dan Tonga pada 1994.

Pada September 1995, Allahyarhamah mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Dunia Keempat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Wanita di Beijing, dengan menyampaikan ucapan bertemakan “Equality, Development and Peace: A Caring World”.

Dianugerahkan Gelaran Tun

Atas sumbangan berterusannya dalam bidang kesihatan awam, pendidikan dan usaha membanteras penyalahgunaan dadah, Allahyarhamah menerima pelbagai darjah kebesaran dan pengiktirafan.

Antaranya ialah Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) pada 31 Oktober 2003 yang membawa gelaran Tun, sekali gus menjadikan beliau isteri Perdana Menteri Malaysia pertama yang dianugerahkan gelaran berkenaan.

Penglibatan Dalam Politik

Dalam bidang politik Allahyarhamah merupakan Ahli, Wanita UMNO dan pada 19 Mei 2008, berhenti menjadi Ahli Wanita UMNO, namun masuk kembali menjadi Ahli Wanita pada April 2009.

Sumbangan Dalam Bidang Pendidikan

Dalam bidang pendidikan tinggi, beliau berkhidmat sebagai Canselor Multimedia University selama 15 tahun dari 1997 hingga 2012.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengiringi jenazah ibunya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini/Foto BERNAMA

Keluarga dan Legasi

Allahyarhamah dan Tun Dr Mahathir mempunyai tujuh orang anak.

Pada 12 Julai 2026, Allahyarhamah menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100.

Pada Ogos 2026, Allahyarhamah menerima pengiktirafan ASEAN Records sebagai “Pasangan kepada Bekas Perdana Menteri Masih Hidup yang Tertua”, sekali gus mengiktiraf kedudukan unik beliau bersama Tun Dr Mahathir sebagai pasangan bekas Perdana Menteri yang mencapai usia 100 tahun.

Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada usia 100 tahun pagi ini.

Berita pemergiannya disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.