
KUALA LUMPUR, 20 Oktober – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Derma Damiya Nur Mikayla, murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil yang meninggal dunia akibat kesukaran bernafas dipercayai tercekik makanan, semalam.
- Menteri menyatakan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga murid yang meninggal.
- Guru memberi bantuan awal sebelum murid dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.
- Kementerian arahkan Jabatan Pendidikan Negeri menjaga kebajikan keluarga dan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa; mendoakan ketabahan.
Datuk Seri Fadhlina menzahirkan rasa amat berdukacita apabila menerima berita pemergian murid berkenaan.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Saya amat berdukacita menerima perkhabaran pemergian adik Damiya Nur Mikayla, murid Tahun Satu SK Dengkil yang berusia tujuh tahun.
“Hati saya cukup tersentuh apabila dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa adik Damiya semalam,” luahnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, guru-guru telah berusaha memberikan bantuan awal sebelum mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun, Allahyarhamah disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.
“Saya tidak dapat membayangkan betapa beratnya kehilangan ini buat kedua-dua ibu bapa dan seluruh keluarga.
“Tiada kata yang mampu mengubat kesedihan apabila anakanda yang disayangi pergi buat selama-lamanya.
Beliau berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri Selangor memastikan kebajikan keluarga adik Damiya diberikan perhatian sewajarnya, selain memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan kejadian tersebut.
Datuk Seri Fadhlina turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya serta keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan dan ketabahan berdepan ujian yang berat ini.