
KUALA LUMPUR, 10 November – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.
- Hakim Datuk Aslam Zainuddin membatalkan perintah pelepasan 6 November dan menggantikannya dengan perintah baru selaras pengampunan bersyarat.
- Perintah pelepasan terdahulu yang melibatkan pembayaran denda dibatalkan sepenuhnya dan digantikan dengan perintah baru.
- Beliau perlu kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos untuk menjalani hukuman berkaitan kes 1MDB.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin selepas membatalkan perintah pelepasan terdahulu bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu yang selaras dengan pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib.
Menerusi perintah itu, Datuk Seri Najib perlu menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Beliau bagaimanapun perlu kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama bagi menjalani hukuman berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam prosiding berkenaan, Datuk Aslam turut menjelaskan bahawa perintah pelepasan terdahulu yang membabitkan pembayaran denda dibatalkan sepenuhnya dan digantikan dengan perintah baharu berkenaan.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah pelepasan baharu susulan penelitian terhadap perintah terdahulu.
Pada 6 November lalu, Datuk Seri Najib dilaporkan menjelaskan denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan rumah.
Bagaimanapun, pelaksanaan kaedah itu ditangguhkan sementara oleh AGC bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran perintah pengampunan bersyarat berkenaan.
Untuk rekod, pada 28 Julai 2020, bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan pada 2 September tahun sama.