Pemain utama badminton negara tersingkir pusingan pertama Masters Kumamoto

Pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 November – Kem badminton negara berdepan hari suram pada pusingan pertama Masters Kumamoto 2026 di Jepun hari ini, susulan penyingkiran beberapa pemain utama termasuk kecederaan yang dialami beregu lelaki nombor satu negara, Soh Wooi Yik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa menarik diri akibat kecederaan tumit kanan selepas enam minit, ketika ketinggalan 6-11.
  • Pearly Tan-M. Thinaah tersingkir pusingan pertama selepas tewas kepada Ririna Hiramoto-Chiharu Shida 21-18, 13-21, 14-21.
  • Malaysia sahkan minima satu wakil suku akhir; Aaron Tai-Yap Roy King akan bertemu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin.

Bagaimanapun, duka kem kebangsaan sedikit terubat apabila Malaysia sudah mengesahkan sekurang-kurangnya satu slot ke suku akhir menerusi pertembungan sesama sendiri melibatkan dua beregu lelaki pada pusingan kedua, Khamis ini.

Laluan Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF bulan depan semakin sukar selepas terpaksa menarik diri pada pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 500 itu.

Pasangan nombor empat dunia berkenaan hanya sempat beraksi enam minit menentang gandingan India, Hariharan Amsakarunan-M R Arjun sebelum menarik diri ketika ketinggalan 6-11 pada set pertama berikutan kecederaan tumit kanan Wooi Yik yang kembali berulang.

Turut tersingkir awal ialah beregu lelaki profesional, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong yang tewas sengit kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-16, 16-21, 20-22 dalam masa 57 minit.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia gagal meneruskan kemaraan selepas tumpas pada pusingan kelayakan kepada wakil tuan rumah, Minoru Koga.

Zii Jia yang kini berada di ranking ke-40 dunia tunduk straight set 15-21, 10-21 kepada pemain di ranking ke-48 dunia itu dalam tempoh 32 minit, sekali gus merencatkan usahanya mengutip mata bagi menembusi kelompok 32 terbaik dunia.

Nasib sama turut menimpa beregu wanita utama, Pearly Tan-M. Thinaah yang menyaksikan misi mereka melangkah ke pentas final ketiga berturut-turut lebur selepas tumpas di pusingan pertama.

Pasangan nombor empat dunia merangkap pilihan kedua kejohanan itu dikejutkan oleh gandingan tuan rumah yang menghuni ranking ke-214 dunia, Ririna Hiramoto-Chiharu Shida dalam pertarungan tiga set 21-18, 13-21, 14-21.

Di sebalik kekecewaan tersebut, Malaysia memastikan sekurang-kurangnya satu wakil mara ke suku akhir apabila Aaron Tai-Yap Roy King dijadualkan bertemu rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada pusingan kedua nanti.

Aaron-Roy King yang menduduki ranking ke-55 dunia mempamerkan aksi memukau apabila hanya memerlukan 25 minit untuk menyingkirkan pasangan Jepun di kedudukan ke-17 dunia, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 21-8, 21-14.

Terdahulu, gandingan profesional nombor lima dunia, Sze Fei-Izzuddin menepati ramalan mara ke pusingan seterusnya selepas menundukkan pasangan Denmark, Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer dengan keputusan 21-15, 21-16.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.