Insiden kecoh: MFL serah laporan penuh, bukti kepada FAM

Kontroversi tercetus selepas Kuching City mendahului 2-0/Foto Facebook CATS FM

KUALA LUMPUR, 10 November – Malaysian Football League (MFL) telah menyerahkan laporan penuh serta bukti berkaitan insiden kekecohan membabitkan pemain dan pegawai Kuching City FC serta Selangor FC kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Maklumat dikumpul daripada komisioner perlawanan, koordinator, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan untuk siasatan.
  • MFL sedang meneliti tindakan susulan di peringkat MFL berdasarkan peraturan serta bidang kuasa sedia ada.
  • Kekecohan tercetus selepas jaringan sendiri Mukhairi Ajmal, ketika Nazmi Faiz menghampiri bangku Selangor dan ketua jurulatih Kim Pan-gon.
  • Perkelahian menyebabkan tolak-menolak; pengadil melayangkan kad merah kepada Eduardo Sosa dan jurulatih kecergasan Joel Josep Dones Charte.

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua maklumat berkenaan dikumpul daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan susulan aksi Separuh Akhir Kedua Piala FA di Stadium Taha Ariffin, Kuching, pada Ahad lalu.

Laporan diserahkan kepada FAM untuk penelitian serta tindakan menerusi Jawatankuasa Tatatertib badan induk berkenaan, selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan.

Pada masa sama, badan pengelola liga tempatan itu turut sedang meneliti sebarang tindakan susulan yang boleh diambil di peringkat MFL berdasarkan peraturan sedia ada.

“MFL turut sedang meneliti dan mengkaji sebarang tindakan susulan yang boleh diambil berdasarkan peraturan serta bidang kuasa yang diperuntukkan kepada MFL.

“MFL memandang serius insiden yang berlaku ini dan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati terlibat mencetuskan kekecohan dan berkelakuan tidak wajar sehingga mengetepikan prinsip semangat kesukanan yang tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada Ahad lalu, suasana tegang tercetus pada penghujung masa tambahan perlawanan selepas jaringan sendiri pemain Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi memastikan kemenangan agregat 3-2 memihak kepada Kuching City FC.

Semasa meraikan kemenangan, pemain tengah The Cats, Nazmi Faiz Mansor berlari menghampiri kawasan bangku simpanan Selangor dan menghampiri ketua jurulatih lawan, Kim Pan-gon sekali gus mengundang rasa kurang senang pasukan lawan.

Tindakan itu mencetuskan pertengkaran mulut sehingga berlaku insiden tolak-menolak membabitkan pemain dan barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan di tepi padang.

Kekecohan itu memaksa pengadil perlawanan, Izwan Abdullah melayangkan kad merah kepada perancang permainan (playmaker) Selangor, Eduardo Sosa dan jurulatih kecergasan, Joel Josep Dones Charte.

Kemenangan dramatik itu melayakkan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak melangkah ke pentas final Piala FA buat kali pertama dalam sejarah untuk membuat perhitungan menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Januari depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.