
Jen Endoro, 65 tahun meninggal dunia akibat serangan strok
KOTA BHARU, 10 November – Legenda dikir barat Kelantan, Mohd Zain Ismail, atau lebih dikenali sebagai Jen Endoro, 65 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, selepas solat Zohor.
- Meninggal di HPUSM akibat serangan strok, penyakit dialami sejak kira-kira empat tahun.
- Keluarga memohon semua menghalalkan makan minum, memaafkan segala kesilapan dan kenang pesanan arwah supaya berbuat baik.
- Komuniti seni dan RTM menghargai sumbangan beliau; karya popular dan kemenangan dikir barat peringkat kebangsaan pada 1998 dan 1999.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian awal pagi tadi akibat serangan strok yang dihidapinya sejak empat tahun lalu.
Jenazah Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.02 pagi di sisi anak bongsunya, Mohammad Faris Mohd Zain, 20 tahun sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Kampung Pulau Melaka, Kedai Lalat, Kota Bharu.
“Dalam tempoh lima hingga enam hari sebelum ini, arwah mengalami muntah berwarna hitam dan perutnya menjadi keras. Namun, keadaan paling kritikal berlaku pada hari terakhir.
“Arwah sentiasa berpesan supaya kita berbuat baik kepada orang lain kerana kebaikan itu akan dibalas, seperti mana orang ramai yang tidak putus-putus datang menziarahinya.
“Mewakili keluarga, kami memohon agar semua pihak menghalalkan segala makan minum serta memaafkan segala kesilapan arwah sepanjang hayatnya. Kami juga memohon ampun dan maaf sekiranya arwah pernah melakukan sebarang kesalahan,” katanya ketika ditemui RTM.
Hadir sama memberikan penghormatan terakhir kepada arwah, ahli keluarga, sanak saudara serta rakan-rakan penggiat seni termasuk juruhebah Kelantan fm Sumardi Hamat@Mumammad.
“Kita mengakui sumbangan besar arwah dalam bidang seni kepada negeri Kelantan. Kehilangannya amat dirasai, lebih-lebih lagi hubungan antara RTM dan arwah sangat istimewa.
“Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarganya diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Pengerusi Persatuan Penggiat Seni Dikir Barat Anak Kelantan (PPSDAK) Mohd Ausri Husin berkata, sumbangan dan segala kebaikan Allahyarham Jen Endero akan terus dikenang.
“Kehilangan Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh komuniti pendikir. Jasa, sumbangan dan segala kebaikan beliau akan terus dikenang dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” katanya.
Allahyarham yang popular sejak era 1970-an meninggalkan banyak karya termasuk lagu Mariani dan Bakpo Tok Royak Demo Bini Ore.
Antara pencapaian terbesar Allahyarham Jen Endero ialah menjuarai Pertandingan Dikir Barat Peringkat Kebangsaan pada 1998 dan 1999, serta dinobatkan sebagai Tukang Karut Terbaik sempena Program Citrawarna 2001.
Sebelum ini, RTM Kelantan menerusi program “Kelantan fm Ambil Peduli” pernah menziarahi arwah serta menyampaikan pelbagai sumbangan.