Tiga jenazah mangsa petir akan dihantar pulang secepat mungkin

Dg Norsiah Ag Duraman

SERDANG, 10 November – Tiga jenazah berasal dari Semporna yang maut dipercayai disambar petir di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, pada Isnin akan dihantar pulang ke Sabah secepat mungkin sejurus proses bedah siasat selesai.

RINGKASAN BERITA AI
  • PPNSKL melalui Dg Norsiah sedang menyelaras penghantaran jenazah bersama pihak berkuasa dan agensi berkaitan.
  • Proses bedah siasat dijangka mengambil kira-kira empat jam bagi setiap jenazah sebelum tindakan selanjutnya.
  • Penghantaran dijangka menggunakan penerbangan MAS, vendor akan menghubungi waris dan tiket sehala disediakan untuk keluarga.

Pengarah Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur (PPNSKL), Dg Norsiah Ag Duraman berkata, pihaknya sedang menyelaras urusan penghantaran jenazah dengan kerjasama pihak berkuasa dan agensi berkaitan.

Keutamaan diberikan untuk memudahkan urusan dan meringankan beban keluarga yang ditimpa musibah berkenaan.

“Keutamaan kami adalah memastikan segala urusan dipermudahkan dan dilaksanakan dengan lancar, teratur serta penuh hormat.

“Insya-Allah, kami akan berusaha untuk menghantar pulang jenazah ke Sabah sebaik sahaja proses bedah siasat selesai dilaksanakan oleh pihak berwajib,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Hospital Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Proses bedah siasat dijangka mengambil masa berikutan setiap jenazah memerlukan kira-kira empat jam untuk prosedur berkenaan.

Penghantaran dijangka menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS), manakala pihak vendor yang dilantik PPNSKL akan menghubungi waris bagi menyelaras urusan berkenaan.

Selain itu, bantuan tiket penerbangan sehala turut disediakan kepada ahli keluarga yang mengiringi jenazah pulang ke Sabah.

Ab Rajib Abd Majid

Sementara itu, mangsa yang terselamat, Ab Rajib Abd Majid, 26, berkata, beliau sedang membaiki kereta manakala tiga saudaranya berada berhampiran sebatang pokok melihat kerja yang dilakukan.

Menurutnya, beliau merupakan individu pertama yang terkena panahan petir sebelum tiga lagi mangsa turut terkena.

“Dalam beberapa minit begitu, mereka turut terkena, dan saya juga terkena. Namun, kesannya tidak begitu kuat. Kami semua mengalami perkara yang sama, tetapi keadaan saya lebih baik,” katanya.

Dalam kejadian itu, dua beradik, Mohd Sahrif Marusin, 26, dan Mohamad Ahzam Marusin, 16, serta sepupu mereka, Mohammad Safwan Aksan, 18, maut dipercayai disambar petir ketika berteduh berhampiran sebatang pokok di lokasi mereka membaiki kereta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.