
KUALA NERUS, 10 November – Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengenal pasti 63 sekolah di seluruh negeri itu sebagai kawasan berisiko banjir bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
- Simulasi banjir dan mesyuarat penyelarasan di lapan daerah bagi memperkemas tindakan menghadapi Monsun Timur Laut.
- Pelajar berisiko dipindahkan ke sekolah berasrama penuh berdekatan untuk memastikan calon SPM dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.
- Kerjasama dengan PDRM, KKM, JKM dan APM bagi memastikan keperluan logistik serta bantuan disediakan.
Pengarah JPNT, Kamsah @ Kamal Mohamed berkata, simulasi banjir dan mesyuarat penyelarasan bersama agensi berkaitan telah pun dilaksanakan di lapan daerah bagi memperkemas tindakan menghadapi fenomena itu.
Antara langkah awal yang diambil ialah mengenal pasti 63 sekolah berisiko banjir di seluruh Terengganu. Walaupun keadaan banjir sukar dijangka, kita telah mengambil langkah memindahkan pelajar dari sekolah yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko.
“Sekolah berkenaan termasuk Sekolah Menengah Imtiaz dan Sekolah Menengah Agama Mahmudiah (SMA Mahmudiah) ke sekolah berasrama penuh berhampiran.
“Langkah ini bagi memudahkan urusan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula pada 23 November ini,” katanya.
Persediaan turut memberi tumpuan kepada kelangsungan sesi persekolahan dan memastikan calon SPM dapat menduduki peperiksaan tanpa terjejas akibat bencana berkenaan.
Tiga kategori sekolah diberi perhatian, iaitu sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), sekolah berisiko dinaiki air serta sekolah terjejas akibat fenomena air pasang.
Bagi memastikan calon SPM tidak terjejas, langkah awal termasuk memindahkan pelajar terlibat dari sekolah berisiko ke sekolah berasrama berhampiran.
Usaha tersebut digerakkan dengan jalinan kerjasama agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), bagi memastikan segala keperluan logistik dapat disediakan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menjulang Bakti Menyulam Legasi Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Tahun 2026 di sini.
Seramai 720 pesara diraikan terdiri daripada guru dan pegawai jabatan yang bersara sehingga Jun tahun ini sebagai penghargaan terhadap jasa serta sumbangan mereka dalam bidang pendidikan.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah pusat pemindahan kekal telah pun siap dibina di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang, Hulu Terengganu.
Pusat berkenaan mampu menempatkan lebih 500 mangsa pada satu-satu masa, sekali gus menyediakan kemudahan lebih selesa dan teratur ketika berlaku
bencana.