Dewan Rakyat: Penguatkuasaan pengesahan umur media sosial antara tumpuan hari ini

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 November – Status penguatkuasaan pengesahan umur media sosial dan sekatan perjalanan ke luar negara antara tumpuan Dewan Rakyat, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Chow Yu Hui tanya sama ada LHDN boleh menyekat perjalanan luar negara kerana tunggakan CP500, bilangan disekat, dan asas perundangan.
  • Mohd Isam Mohd Isa soal kemajuan Program Solar ATAP dan SuRIA Home serta usaha perluas akses B40 dan M40 melalui rebat atau pembiayaan mudah.
  • Dewan Rakyat meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 di peringkat jawatankuasa.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Wong Shu Qi (PH-Kluang) bertanyakan Menteri Komunikasi mengenai status penguatkuasaan pengesahan umur media sosial sejak 1 Jun lepas serta tindakan terhadap platform yang belum melaksanakan pengesahan serta status peralihan enam bulan pada sesi soal jawab.

Chow Yu Hui (PH-Raub) pula meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada Lembaga Hasil Dalam Negeri berhak menyekat perjalanan ke luar negara kerana tunggakan Notis Bayaran Ansuran Cukai (CP500).

Beliau juga ingin tahu bila amalan itu mula dilaksanakan, bilangan orang disekat, asas perundangannya serta sama ada sekatan berdasarkan anggaran cukai yang belum dimuktamadkan adalah sah dan munasabah.

Selain itu, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) bertanyakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berhubung pencapaian terkini Program Peralihan Tenaga Solar yang Diperkukuhkan (Solar ATAP) dan SuRIA Home, termasuk jumlah kediaman yang telah menyertainya serta langkah kementerian untuk memperluas akses kepada golongan B40 dan M40 melalui rebat, skim sewaan atau pembiayaan mudah tanpa kos permulaan yang tinggi.

Usai sesi soal jawab, Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan dan jawapan kementerian bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 di peringkat jawatankuasa.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis ini.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.