
GEORGE TOWN, 10 November – Pulau Pinang memperkukuh agenda pembangunan bandar pintar menerusi pelancaran dua pelan strategik yang memberi tumpuan kepada integrasi data, penggunaan teknologi dan kecekapan pengurusan bandar.
- Pelancaran Pelan Induk Bandar Pintar 2040 dan Pelan Tindakan MBPP 2030 sebagai panduan menyelaras pembangunan bandar pintar menyeluruh dan mampan.
- Pembangunan PUIO, State Data Exchange dan Smart Penang Dashboard sebagai komponen strategik bagi ekosistem data negeri bersepadu menyokong keputusan dan tindakan.
- Pelan Tindakan MBPP 2030 fokus menangani banjir, kesesakan lalu lintas, pengurusan sisa pepejal dan peningkatan suhu bandar.
- Pelan 2040 menetapkan tujuh teras: Smart People, Smart Living, Smart Environment, Smart Government, Smart Economy, Smart Mobility, Smart Digital Infrastructure.
Pelan Induk Bandar Pintar Negeri Pulau Pinang 2040 dan Pelan Tindakan Bandar Pintar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) 2030 itu dilihat sebagai panduan utama dalam menyelaras pembangunan bandar pintar secara lebih menyeluruh dan mampan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pelaksanaan kedua-dua pelan berkenaan akan memastikan pelbagai inisiatif pendigitalan negeri dapat disepadukan, sekali gus meningkatkan keberkesanan perancangan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Saya menyambut baik pelancaran Pelan Induk Bandar Pintar Negeri Pulau Pinang 2040 pada hari ini sebagai hala tuju jangka panjang untuk menyelaras inisiatif bandar pintar serta memperkukuh integrasi data dan teknologi negeri.
“Pembangunan Penang Urban Intelligence Observatory (PUIO), State Data Exchange (SDX) dan Smart Penang Dashboard merupakan komponen strategik dalam membentuk ekosistem data negeri yang bersepadu bagi menyokong keputusan dan tindakan yang lebih tepat serta berkesan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di Penang Waterfront Convention Center (PWCC) di sini hari ini.
Chow berkata, Pelan Tindakan Bandar Pintar MBPP 2030 pula akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif yang lebih dekat dengan keperluan penduduk, termasuk menangani isu banjir, kesesakan lalu lintas, pengurusan sisa pepejal dan peningkatan suhu bandar.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kekuatan ekonomi Pulau Pinang turut menuntut perancangan bandar yang lebih strategik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi seiring dengan peningkatan kualiti hidup rakyat.
“Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi negara apabila eksport negeri mencecah RM113.2 bilion pada September 2026, bersamaan kira-kira 52.6 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, sebanyak 177 projek pembuatan diluluskan dengan nilai pelaburan RM17.32 bilion, yang berpotensi mewujudkan 19,337 peluang pekerjaan,” katanya.
Chow berkata pencapaian ekonomi itu perlu disokong perancangan bandar yang strategik, infrastruktur berkualiti dan pengurusan sumber mampan supaya pertumbuhan ekonomi turut diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, Pelan Induk Bandar Pintar Negeri Pulau Pinang 2040 yang dibangunkan PLANMalaysia Pulau Pinang menetapkan tujuh sektor utama sebagai teras pembangunan.
Ia merangkumi Smart People, Smart Living, Smart Environment, Smart Government, Smart Economy, Smart Mobility dan Smart Digital Infrastructure.
Menurut beliau, pendekatan itu menekankan penggunaan teknologi, inovasi dan pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bandar serta mutu perkhidmatan kepada masyarakat.
“Menjelang 2040, kerajaan negeri berhasrat untuk membangunkan ekosistem bandar pintar yang lebih matang dan bersepadu melalui pengukuhan tadbir urus, infrastruktur digital, integrasi data serta penerapan teknologi pintar dalam perancangan dan pengurusan bandar,” katanya.
Pelan Tindakan Bandar Pintar MBPP 2030 pula memberi penekanan kepada kecekapan perkhidmatan perbandaran, pengurusan mobiliti, kelestarian alam sekitar, infrastruktur digital dan kesejahteraan masyarakat.
Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 dianjurkan PLANMalaysia Pulau Pinang dengan kerjasama MBPP, bertemakan “Bandar Kita Masa Depan Kita, Bersama Melakar Pulau Pinang Makmur, Berdaya Tahan dan Sejahtera”.