El Nino: Impaknya kepada dunia, berdepan pelbagai risiko

Ombak besar akibat Ribut Tropika Rachel membadai laluan pejalan kaki dan kediaman di Long Beach, California/Foto AFP

BANGKOK, 10 November – Fenomena cuaca El Nino yang semakin kuat kini memberi impak kepada perubahan cuaca seluruh dunia, sekali gus meningkatkan risiko banjir, kemarau dan kenaikan harga makanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peru isytihar darurat; banjir dan tanah runtuh ancam lebih sembilan juta penduduk.
  • Sri Lanka berdepan kemarau serius, empangan rendah; terpaksa guna loji jana haba mahal dan tingkatkan pencemaran.
  • FAO amaran risiko kekurangan makanan; kekurangan dana persediaan tingkatkan kenaikan harga dan risiko kekurangan zat.

Pakar iklim memberi amaran, keadaan itu turut meningkatkan kemungkinan 2026 menjadi tahun kedua paling panas pernah direkodkan, susulan peningkatan suhu global akibat perubahan iklim dan fenomena El Nino.

Menurut pemantau iklim Kesatuan Eropah, Copernicus, Oktober lalu menyaksikan suhu global dan permukaan laut mencatat paras luar biasa tinggi.

El Nino merupakan fenomena iklim semula jadi yang menyebabkan peningkatan suhu permukaan laut di kawasan tropika Lautan Pasifik. Keadaan ini mengubah corak cuaca dunia, termasuk meningkatkan risiko hujan lebat di sesetengah kawasan dan kemarau di kawasan lain.

Peru isytihar darurat

Di Amerika Selatan, Peru mengisytiharkan darurat di sebahagian besar negara itu susulan ancaman banjir dan tanah runtuh yang dikaitkan dengan El Nino.

Hujan lebat sudah menyebabkan beberapa kawasan di wilayah Tumbes dan Piura di utara Peru dilanda banjir.

Pihak berkuasa menganggarkan lebih sembilan juta penduduk, hampir satu pertiga daripada keseluruhan populasi negara itu, berdepan risiko tinggi banjir dan tanah runtuh.

Bolivia sebelum ini turut mengisytiharkan darurat di seluruh negara berikutan kesan fenomena cuaca berkenaan.

Pekerja mengalihkan sampah di atas benteng pemecah ombak di Pulau Pamarawan, Malolos City, wilayah Bulacan, Filipina/Gambar fail AFP

Sri lanka berdepan risiko kemarau

Sementara itu, di Asia, Sri Lanka berdepan situasi berbeza apabila cuaca lebih panas dan kering dikaitkan dengan El Nino meningkatkan risiko kekurangan bekalan air untuk penjanaan tenaga hidroelektrik.

Bagaimanapun, hujan lebat ketika ini membantu meningkatkan paras simpanan air empangan, sekali gus mendorong syarikat elektrik milik kerajaan menarik balik cadangan kenaikan tarif.

Namun, pihak berkuasa menjangkakan negara itu berdepan kemarau serius pada separuh pertama 2027.

Keadaan itu boleh memaksa Sri Lanka menggunakan lebih banyak loji jana kuasa haba yang menelan kos lebih tinggi dan menghasilkan pencemaran.

Filipina sedia lebih RM4 bilion

Di Filipina pula, kerajaan memperuntukkan lebih 980 juta dolar Amerika, bersamaan kira-kira 4.1 bilion ringgit, bagi menghadapi kesan El Nino terhadap sektor pertanian.

Langkah itu diambil selepas pengeluaran beras negara berkenaan merosot 18 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga September lalu.

Selain El Nino, kenaikan harga bahan api dan baja susulan konflik Iran turut menambah tekanan kepada sektor pertanian.

Jabatan cuaca Filipina turut menjangkakan taburan hujan di bawah paras normal, malah jauh lebih rendah daripada biasa, sepanjang November.

Hujan turun di perairan pantai ketika ribut melanda Montevideo/Foto AFP

Suhu dunia dan rekod panas

Dalam perkembangan berkaitan, analisis data Copernicus oleh AFP mendapati 33 negara mencatat rekod suhu tertinggi bagi Oktober.

Sementara itu, pemantauan terhadap gangguan pusaran kutub atau polar vortex turut menunjukkan perubahan luar biasa pada awal November.

Pakar memberi amaran keadaan itu boleh meningkatkan risiko gelombang sejuk di beberapa kawasan dan berkemungkinan mempunyai kaitan dengan El Nino.

Harga makanan turut terjejas

Kesan El Nino bukan hanya dirasai menerusi perubahan cuaca, malah turut mengancam bekalan makanan dan meningkatkan kos sara hidup.

Hujan lebat dan banjir boleh memusnahkan tanaman, merosakkan stok makanan serta mengganggu sistem pengangkutan dan pengedaran hasil pertanian.

Sebaliknya, kemarau pula boleh menjejaskan hasil tanaman dan bekalan makanan ternakan.

Ketua Pakar Ekonomi Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Maximo Torero, berkata kesan terhadap harga makanan boleh dirasai sebelum musim tuaian selesai.

Menurutnya, jangkaan kekurangan bekalan dan ketidaktentuan pasaran boleh menyebabkan harga makanan meningkat.

Keadaan itu lebih membebankan golongan berpendapatan rendah kerana sebahagian besar pendapatan mereka digunakan untuk membeli makanan.

FAO turut memberi amaran kenaikan harga boleh menyebabkan keluarga mengurangkan pengambilan makanan, memilih makanan kurang berkhasiat dan berdepan risiko kekurangan zat.

Pada September lalu, FAO memaklumkan hanya menerima satu perlima daripada dana 202 juta dolar Amerika yang diperlukan bagi membuat persediaan menghadapi krisis makanan berkaitan El Nino di 22 negara berisiko tinggi. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.