
ANTALYA, 10 November – Green Growth Asia Foundation (GGAF) mengetengahkan kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Indonesia pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-31 (COP31) bagi memperluas peluang pelajar menangani isu alam sekitar menerusi projek di sekolah, universiti dan komuniti.
- Sokongan pendidik, penglibatan industri dan perkongsian antarabangsa diperlukan untuk menjadikan pembelajaran alam sekitar sebagai tindakan nyata.
- Pelajar digalakkan mulakan projek isu tempatan seperti pembaziran makanan, penggunaan air, tenaga dan pengurusan sisa untuk bina kemahiran serta keyakinan.
- Keutamaan selepas persidangan: pembangunan kapasiti pendidik, perkongsian amalan antara institusi dan sokongan berterusan kepada projek diterajui pelajar.
- Kerjasama rentas sektor mesti menghasilkan manfaat yang boleh dinilai; rakan kongsi sumbang kepakaran, bimbingan dan peluang projek sebenar.
Ketua Eksekutif GGAF, Dr Balamurugan Ratha Krishnan berkata, usaha itu memerlukan sokongan pendidik, penglibatan industri serta perkongsian pengalaman antarabangsa bagi memastikan pembelajaran dapat diterjemahkan kepada tindakan.
“Pelajar boleh bermula dengan isu yang dekat dengan kehidupan mereka seperti pembaziran makanan, penggunaan air dan tenaga atau pengurusan sisa di sekolah dan kampus.
“Apabila mereka menyiasat masalah, mencari penyelesaian dan menilai hasilnya, mereka membina kemahiran serta keyakinan untuk membawa perubahan dalam masyarakat,” katanya menerusi kenyataan sempena dialog anjuran GGAF di Pavilion Malaysia pada COP31.
Dialog bertajuk From Global Ambition to Regional Action: Accelerating Education for Sustainable Development Towards 2030 itu menghimpunkan wakil rangkaian pendidikan antarabangsa, Türkiye, Malaysia dan Indonesia.
Dr Balamurugan berkata, keutamaan selepas COP31 merangkumi pembangunan keupayaan pendidik, perkongsian amalan antara institusi serta sokongan kepada projek yang diterajui pelajar.
Sebagai pengendali kebangsaan program Eco-Schools dan Eco-Campus di Malaysia serta Indonesia, GGAF menghubungkan kerangka pendidikan antarabangsa dengan keperluan pelaksanaan tempatan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif GGAF, Datuk Ir. Ts. Dr Mahadi Mohamad berkata, kerjasama rentas sektor perlu menghasilkan manfaat yang boleh dinilai, bukan sekadar tertumpu kepada pembiayaan.
“Selain pembiayaan, rakan kerjasama boleh menyumbang kepakaran, bimbingan dan peluang untuk pelajar menjalankan projek sebenar.
“Kita mahu setiap sumbangan membantu pendidik dan pelajar melaksanakan sesuatu yang jelas, dengan kemajuan yang boleh dipantau serta manfaat yang dapat diterangkan kepada masyarakat,” katanya.
Antara pendekatan yang diketengahkan ialah Eco-Schools, Eco-Campus dan Young Reporters for the Environment (YRE), yang menghubungkan pembelajaran dengan tindakan, penyiasatan dan komunikasi alam sekitar.
Axiata Foundation turut menyokong Eco-Schools, selain kerjasama berkaitan Eco-Campus dan pembelajaran kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan belia.
GGAF turut mengalu-alukan penglibatan yayasan, syarikat dan rakan pembangunan untuk menyokong latihan pendidik serta pelaksanaan program di sekolah dan universiti kedua-dua negara.