Naib Presiden Indonesia, Gibran zahir hasrat letak jawatan

Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka / Foto AFP

JAKARTA, 10 November – Naib Presiden Indonesia Gibran Rakabuming Raka menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan kepada Presiden Prabowo Subianto susulan timbulnya persoalan mengenai kelayakan pendidikannya, kata Menteri Setiausaha Negara Prasetyo Hadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gibran menyatakan hasrat meletak jawatan semasa pertemuan kira-kira dua setengah jam dengan Presiden.
  • Prabowo tidak menolak hasrat itu dan sebaliknya memberi nasihat dalam perbincangan.
  • Gibran memohon peluang buktikan kesahihan dokumen pendidikannya melalui proses undang-undang di PTUN.
  • Mahkamah Perlembagaan tolak petisyen; Mahkamah Agung nyatakan sijil penyetaraan menengahnya tidak sah; Parlimen akan meneliti.

Prasetyo berkata Gibran menyampaikan hasrat itu dalam pertemuan selama kira-kira dua setengah jam bersama Presiden awal hari ini.

“Dalam perbincangan itu, Naib Presiden menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan berikutan perkembangan yang sedang berlaku,” katanya pada taklimat media yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube Sekretariat Presiden.

Prasetyo menjelaskan bahawa Prabowo tidak menolak hasrat yang dinyatakan Gibran itu, sebaliknya memberi nasihat dalam perbincangan berkenaan.

Beliau berkata Gibran turut memohon peluang untuk membuktikan kesahihan dokumen pendidikannya melalui proses undang-undang di Mahkamah Pentadbiran Negara (PTUN).

Menurut agensi berita rasmi Antara, Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada 6 Okt memutuskan bahawa petisyen yang mencabar kelayakan Gibran memegang jawatan berkenaan adalah tidak boleh diterima, manakala Mahkamah Agung kemudiannya mengisytiharkan sijil penyetaraan pendidikan sekolah menengah atas miliknya tidak sah pada 30 Okt.

Agensi berita itu turut melaporkan bahawa Dewan Perwakilan Rakyat yang menyambung semula sidang pada Selasa, telah menerima pandangan daripada puak parti-parti politik berhubung kemungkinan penggunaan Hak Menyatakan Pendapat mengenai kelayakan pendidikan Gibran, dengan pimpinan Parlimen dijangka meneliti perkara itu mengikut prosedur sedia ada.

Gibran, anak sulung bekas Presiden Joko Widodo, menjadi naib presiden termuda Indonesia selepas memenangi Pilihan Raya Presiden pada Februari 2024 bersama Prabowo. Kedua-duanya mengangkat sumpah jawatan pada 20 Okt 2024.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.